Siakap Keli
Kredit: Facebook

Derinkuyu Yang Misteri, Kenali Bandar Bawah Tanah Di Turkiye, Pernah Dihuni 20,000 Penduduk

Bandar Bawah Tanah Misteri Di Turkiye ‘Derinkuyu’, Mampu Dihuni 20,000 Penduduk

Turkiye adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai sejarah peradaban manusia. Maka, tak hairanlah negara yang terletak di atas benua Eropah dan Asia ini kerap dikunjungi oleh masyarakat dunia untuk meneroka kisah silamnya.

Salah satu tempat bersejarah yang boleh dilawati hari ini di Turkiye adalah bandar purba bawah tanah yang dikenali sebagai Elengubu, atau nama modennya, Derinkuyu. Ia merupakan penempatan manusia yang dibina pada kedalaman 85 meter dari permukaan Bumi serta mengandungi terowong sebanyak 18 tingkat.

Big Think

Selain ratusan bilik seperti gua yang ditemui pada dinding tanah terbentang sejauh beratus-ratus batu, lebih 200 bandar bawah tanah yang bersaiz kecil dan berasingan turut ditemui di kawasan sekitar penempatan ini. Ia bermungkinan bersambung dengan terowong-terowong diatas sekaligus mewujudkan sebuah rangkaian bandar bawah tanah yang besar.

Setakat ini, bandar ini merupakan bandar bawah tanah yang terbesar ditemui di dunia. Ia dipercayai telah didiami oleh manusia sejak lebih ribuan tahun dahulu, bermula daripada era Phrygians lagi sehinggalah pada Era Byzantine.

Setelah didiami oleh manusia untuk satu tempoh yang agak lama, ia kemudiannya telah ditinggalkan pada 1920-an selepas komuniti penghuni terakhir, Greek Cappadocia mengalami kekalahan dalam perang Greek-Turki dan melarikan diri ke Greece.

Kredit: Facebook

Bandar ini ditemui secara tidak sengaja oleh seorang lelaki

Menurut pemandu pelancong yang bersama pihak BBC ketika mengunjungi tempat ini, Suleman berkata Derinkuyu ditemui semula pada 1963 oleh seorang warga tempatan yang asyik kehilangan ayam ternakannya.

Ketika lelaki tersebut sedang melakukan pengubahsuaian rumahnya, haiwan ternakan sepeti ayam didapati hilang menerusi celahan kecil yang wujud semasa pengubahsuaian dan tidak dapat ditemui lagi.

Semasa menjalankan penyiasatan dan sedikit penggalian, lelaki tersebut kemudian menemui sebuah laluan rahsia secara tidak sengaja. Laluan tersebut merupakan salah satu daripada 600 laluan masuk ke bandar tersebut.

Sejurus penemuan laluan ke bandar tersebut, sebuah misi ekskavasi telah dimulakan serta merta dan hasilnya mendedahkan pelbagai penemuan menarik seperti tempat penyimpanan makanan kering, kandang lembu, sekolah, tempat penghasilan arak dan gereja.

Sejak itu, bandar bawah tanah tersebut telah menjadi kawasan pelancongan dan menerima kehadiran pelawat dari serata pelusuk Bumi. Derinkuyu kemudiaan telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 1985.

Kredit: Facebook

Teka-teki mengenai asal usul bandar ini

Walau bagaimanapun, pengkaji masih belum dapat menyelesaikan soalan mengenai bila bandar ini dibina. Tetapi, terdapat satu perkara yang menarik ditemui dalam karya Anabis yang ditulis oleh Xenophon of Athens kira-kira tahun 370 Sebelum Masihi, iaitu catatan tertua yang menyebut mengenai Derinkuyu.

Dalam karya tersebut, beliau memetik orang-orang Anatolia yang berada di atau berdekatan wilayah Cappadocia, tinggal di bawah tanah iaitu, rumah yang digali, bukannya di kawasan tempat tinggal di tebing gua yang kelihatan lebih popular pada waktu itu.

Kredit: Facebook

Cappadocia sesuai untuk pembinaan bandar bawah tanah

Menurut Andrea De Giorgi, profesor madya bagi pengajian klasik di Florida State University, Cappadocia sangat bersesuaian untuk pembinaan bandar bawah tanah disebabkan kurang kandungan air dalam tanahnya selain mudah ditempa dan dibentuk.

“Geomorfologi rantau ini sesuai untuk penggalian ruang bawah tanah,” katanya, menerangkan bahawa batu tuf tempatan agak mudah untuk diukir dengan peralatan yang ringkas seperti penyodok dan beliung.

Pada asalnya, bandar bawah tanah Derinkuyu hanya digunakan untuk penyimpanan barangan dan tujuan utamanya adalah sebagai tempat perlindungan sementara apabila berdepan dengan penceroboh asing.

Hal ini disebabkan, wilayah Cappadocia sering menjadi sasaran untuk dikuasai oleh empayar pemerintahan yang berbeza-beza sejak berkurun-kurun lamanya.

“Perubahan pemerintahan empayar dan kesannya ke atas landskap Anatolia menjelaskan sebab wujudnya tempat perlindungan bawah tanah seperti Derinkuyu,” terang De Giorgi.

Kredit: Facebook

“Walau bagaimanapun, pada masa serbuan tentera Islam pada abad ke-7 terhadap Empayar Byzantine yang kebanyakannya didominasi penganut agama Kristian, kemudahan ini digunakan sepenuhnya sebagai kediaman.”

Ketika itu, penduduk yang terdiri dari kaum Phrygians, Parsi, Seljuk dan lain-lain yang semuanya mendiami rantau ini secara perlahan-lahan meluaskan bandar bawah tanah pada abad-abad berikutnya.

Populasi Derinkuyu meningkat sehingga kemuncaknya semasa Era Byzantine, dengan didiami hampir 20,000 penduduk. Pada hari ini, anda boleh merasai realiti kehidupan di bawah tanah Derinkuyu dengan hanya kira-kira 60 lira Turki (RM13.81) sahaja.

BACA: Setiap Pelancong Masuk Ke Thailand Kena Bayar Yuran RM 39 Bermula Jun Ini

Sumber: BBC

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma