Siakap Keli
Kredit: Pixabay

Tak Mampu Bayar Denda RM 32k, Lelaki Abai Kucing Peliharaan Hingga Mati Dipenjara 20 Hari

Tak Mampu Bayar Denda RM 32k, Lelaki Abai Kucing Peliharaan Hingga Mati Dipenjara 20 Hari

Seorang lelaki warganegara Singapura berusia 25 tahun didenda sebanyak S$10,000 (RM32,498) oleh sebuah mahkamah disana selepas didapati bersalah mengabaikan kucing peliharaannya hingga mati.

Lelaki berkenaan ditahan dan dibicarakan di bawah Akta Haiwan dan Unggas kerana menyebabkan kesakitan dan penderitaan kepada kucing dengan cara tidak menyediakan makanan dan minuman secukupnya tanpa sebab yang munasabah, lapor CNA.

Menurut dokumen-dokumen yang dikeluarkan mahkamah, tertuduh dilapor tidak mampu untuk membayar denda tersebut dan diperintah menjalani hukuman penjara selama 20 hari.

Tidak memberi makan kepada kucing peliharaannya selama dua bulan

Memetik laporan CNA berkenaan fakta kes, tertuduh didapati gagal untuk menyediakan makanan dan minuman yang mencukupi kepada kucingnya secara berkala antara 25 Disember 2020 sehingga 2 Februari 2021.

Dalam dokumen tersebut, tertuduh dilapor telah menetap di sebuah rumah pangsa di Sembawang bersama isterinya bermula 2018.

Pada Februari 2019, dia kemudiannya telah memelihara seekor kucing yang memiliki bulu berwarna kelabu. Seterusnya pada Oktober 2020, tertuduh bersama keluarganya didapati tidak menetap di kediaman tersebut sebaliknya berpindah sama ada tinggal bersama dengan keluarga mentua di Woodlands atau menetap bersama ibu saudara di Boon Lay, atas faktor jarak yang lebih dekat dengan tempat kerja di Jurong Port.

Dia bagaimanapun didapati tidak membawa kucing malang itu pindah bersama dan hanya datang sekali sekala menjenguk keadaan kucing itu di kediaman lamanya di Sembawang.

Dalam perbicaraan kes tersebut, tertuduh mengaku hanya memberi makanan dan minuman kepada kucingnya buat kali terakhir kira-kira Disember 2020.

Bau busuk dari rumah lamanya

Sekitar 25 Disember 2020 sehingga 2 Februari 2021, tertuduh telah dihubungi oleh jirannya untuk memaklumkan kehadiran bau busuk yang dihidu dari rumah tersebut.

Menurut Mothership.sg, jirannya menghubungi tertuduh kerana mahu bertanya mengenai keadaan kucingnya, selepas mendapati tertuduh sudah beberapa bulan tidak kembali ke kediaman berkenaan.

CNA melaporkan beberapa mesej telah dihantar oleh jiran tertuduh berkenaan bau busuk yang semakin kuat dan meminta tertuduh untuk pulang ke rumah lamanya dan memeriksa keadaan kucing itu.

Namun, dia didapati tidak pulang untuk memeriksa status haiwan peliharaan tersebut.

Berdasarkan laporan CNA, National Parks Board (NParks) telah menerima aduan dari orang ramai mengenai seekor kucing yang dipercayai mati di dalam sebuah rumah pangsa di Sembawang pada 2 Februari 2021.

Pegawai NParks telah memulakan siasatan segera dan menemui bangkai kucing tersebut di dalam rumah pangsa terbabit pada hari yang sama.

Berdasarkan bedah siasat yang dilakukan oleh veterinar di NParks, mendapati bangkai kucing berkenaan berada dalam keadaan mumifikasi dan autolisis yang ketara.

Ini bermaksud, sel-sel kucing yang mati telah mencerna dirinya sendiri.

Walaupun waktu kematian kucing malang itu tidak dapat ditentukan dengan tepat, pihak veterinar dari NParks berkata bangkai haiwan biasanya akan mengambil masa seminggu untuk mencapai keadaan autolisis dan mumifikasi.

Tidak dapat mengumpulkan dana untuk membayar denda

Tertuduh disabitkan kesalahan pada Ogos 2022 atas tindakan membiarkan haiwan peliharaannya kelaparan sehingga mencetuskan kematian dan hukuman tersebut telah diubah pada Oktober 2022.

Dia telah meminta penangguhan pembayaran denda sebanyak dua kali dengan alasan isterinya baru bersalin dan berjanji untuk membawa anak perempuannya keluar bersempena Tahun Baru Cina, kata CNA.

Dalam perbicaraan kes pada 18 Januari lalu, lelaki tersebut berkata bahawa dia tidak memiliki dana untuk membayar denda tersebut dan sekali lagi, meminta penangguhan pembayaran.

Disebabkan ketidakmampuannya untuk melunaskan bayaran denda tersebut, akhirnya tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara selama 20 hari semalam.

Di Singapura, bagi sesiapa yang didapati bersalah di bawah Akta Haiwan dan Burung kerana menyebabkan kesakitan dan penderitaan kepada haiwan tanpa sebab yang munasabah, boleh didenda sebanyak S$15,000 (RM48,735), penjara 18 bulan atas kedua-duanya sekali.

BACA: (Video) Ingatkan Jenis Kalut & Gelabah, Rupanya Si Bulu Ada Masalah Rabun, Patut Kepala Selalu Terhantuk

Sumber: Mothership.sg

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma