Siakap Keli
500 Ribu Rusia Serangan Baru
Gambar: AFP PHOTO, Ukranian Presidential Press Service

500 Ribu Tentera Rusia Didakwa Sedia Untuk Serangan Baru

500 Ribu Tentera Rusia Didakwa Sedia Untuk Serangan Baru

Rusia didakwa sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan baru menjelang setahun pencerobohan negara itu ke atas Ukraine, pada 24 Februari ini.

Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksii Reznikov berkata, serangan kali ini mungkin melibatkan kerahan tentera pada jumlah yang sangat besar.

Dengan merujuk kepada kerahan am melibatkan 300,000 askar pada September lepas, Reznikov berkata saiz serangan baru ke atas Ukraine kali ini mungkin melibatkan sekitar 500 ribu tentera Rusia.

“Kami tidak memandang rendah musuh kami. Rusia mengumumkan angka rasmi 300,000 askar kerahan. Tetapi, apabila kita melihat tentera mereka di sempadan, anggaran jumlahnya mungkin jauh lebih tinggi,” katanya.

Rabu lepas, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy berkata Rusia cuba mendapatkan apa-apa kelebihan yang mereka boleh raikan sempena ulang tahun perang ini. Beliau seterusnya turut mendedahkan aktiviti kententeraan di Donetsk menjadi semakin tegang kini.

”Aktiviti ketenteraan dan serangan Rusia di wilayah Timur dikesan meningkat. Situasi menjadi lebih sukar buat masa ini,” kata Zelenskiy dalam satu video.

Dalam pada itu, Reznikov berkata serangan baharu mungkin tertumpu di dua kawasan di timur yang telah menyaksikan pertempuran hebat dalam beberapa minggu.

Rusia dan simbolisme

”Kami fikir begitu, mengambil kira sejarah Rusia yang mementingkan simbolisme. Mereka mungkin cuba dapatkan sesuatu pada 24 Februari ini,” katanya lagi.

Minggu lepas, Setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan Ukraine turut mengeluarkan amaran yang sama. Oleksey Danilov dilapor berkata, Rusia sedang bersiap sedia untuk melancarkan gelombang serangan baharu dengan wilayah Timur Donetsk dan Luhansk mungkin menjadi sasaran.

Donetsk dan Luhansk membentuk Donbass iaitu sebuah wilayah yang bersempadan dengan Rusia. Vladimir Putin dipercayai meletakkan pengambilalihan wilayah itu sebagai antara matlamatnya sejak dari awal perang meletus.

Gabenor Luhansk, Serhiy Haidai turut mendakwa tentera Rusia mengusir penduduk tempatan yang tinggal berhampiran kawasan yang dikuasai mereka. Tindakan itu dipercayai bagi menyembunyikan pergerakan besar-besaran tentera Rusia.

“Terdapat pemindahan aktif tentera Rusia ke rantau ini dan mereka pastinya sedang menyediakan sesuatu di Barisan Depan Timur untuk Februari ini”, kata Haidai.

Menteri Pertahanan Ukraine ketika ini berada di Perancis untuk bertemu Presiden Emmanuel Macron dan berjaya menyelesaikan perolehan radar pertahanan udara.

Reznikov juga dipercayai sedang melobi negara-negara Eropah untuk menghantar jet pejuang F-16 masing-masing ke negaranya. Macron dilapor tidak menolak sepenuhnya cadangan tersebut.

BACA: Cucu Mithali Ajar Nenek Guna Smart TV Macam Dekat Sekolah

Sumber: The Guardian, BBC

Shafikah