Siakap Keli
bayi lelaki di kondo rakyat
Kredit: BERNAMA

Bayi Lelaki Ditemukan Di Kondo Rakyat Kuala Ibai

KUALA TERENGGANU, (Bernama) — Seorang bayi lelaki yang masih hidup dan masih bertali pusat ditemukan di Kondo Rakyat Kuala Ibai dekat sini, petang semalam.

Bayi yang dianggarkan berusia antara lima hari hingga seminggu itu ditemukan oleh seorang penduduk Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, di bawah kerusi kayu di belakang dapur rumahnya pada 6.05 petang ketika baru pulang dari kerja.

Menurut Ahmad Fauzi, beliau terdengar suara tangisan bayi dari arah belakang rumah, bagaimanapun tidak mengendahkannya kerana menyangkakan ia datang dari rumah jiran.

“Selepas mengamatinya lebih lama, saya ke belakang dan terkejut apabila mendapati seorang bayi berada di atas simen di bawah kerusi kayu panjang,” katanya ketika ditemui di Kondo Rakyat Kuala Ibai, semalam.

Ahmad Fauzi berkata ketika ditemukan bayi berkenaan hanya dipakaikan lampin pakai buang dan terdapat sehelai kain pelikat dipercayai digunakan untuk membalut tubuh bayi berkenaan.

“Alhamdulilah bayi tersebut nampaknya sihat dan tiada kecederaan yang ketara,” katanya menambah bapa mertuanya bertindak menghubungi pihak polis yang kemudian tiba pada kira-kira 7.30 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan bayi itu supaya menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan.

Kes yang sama

Sebelum ini, berlaku kes yang sama di Indonesia di mana seorang bayi dikerumuni semut ditemui oleh penduduk dalam penemuan di daerah Mijen, Jawa Tengah berhampiran sebuah kawasan kolam pancing.

Penemuan itu mengejutkan penduduk di situ kerana bayi tersebut kelihatan seperti baru dilahirkan susulan masih terdapat kesan darah dan lendir di kepalanya.

“Tali pusatnya sudah dipotong semasa bayi itu ditemukan.

“Bayi itu masih bernyawa, yang sengaja ditinggalkan oleh di lokasi terbabit oleh pelaku,” jelas Ketua Polis Daerah Mijen Kholid Mawardi.

Bayi itu ditemui semasa dua penduduk membantu sebuah kereta rosak yang berada di hadapan kolam memancing Barokah Sekopek tidak jauh dari lokasi kejadian.

Sumber: BERNAMA

BACA: Darah Pada Lampin & Badan Berbulu, Ini 8 Tanda Normal Bayi Baru Lahir

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana