Siakap Keli
pembayaran terbuka jambatan pulau pinang
Kredit: BERNAMA

PLUS Sasar Perkenal Pembayaran Terbuka Di Jambatan Pulau Pinang & BKE September Ini

PLUS Sasar Perkenal Pembayaran Terbuka Di Jambatan Pulau Pinang Dan BKE September Ini

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyasarkan untuk memperkenalkan sistem pembayaran terbuka (open payment system) di Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) September Ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi merealisasikan matlamat itu.

“Kami juga sedang giat membuat persiapan untuk mengadakan ujian pembayaran tol secara terbuka menggunakan kad debit dan kad kredit di Lorong RFID selain daripada e-wallet Touch ‘n Go di Jambatan Pulau Pinang.

“Manakala di Lebuhraya BKE pula, persediaan sedang dibuat untuk menguji sistem pembayaran terbuka menggunakan kad kredit atau debit di Plaza Tol Kubang Semang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengguna lebuh raya akan diberikan lebih pilihan apabila pelaksanaan pembayaran terbuka itu dilaksanakan nanti.

“Pihak PLUS sentiasa bersedia meneroka dan menguji kaedah-kaedah pembayaran tol yang lebih mudah dan memberi lebih keselesaan kepada pengguna lebuh raya,” tambah beliau.

Kad debit, kredit boleh diguna di lima lebuh raya tahun ini

Sebelum ini, media melaporkan sistem pembayaran tol di beberapa lebuh raya utama kini boleh dibayar menggunakan kad debit dan kredit menjelang September ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelaksanaan sistem pembayaran terbuka merupakan inisiatif awal yang dilakukan oleh pihaknya.

Daya usaha itu juga adalah peralihan ke arah sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang sedang giat diusahakan.

“Melalui pelaksanaan MLFF, sistem pembayaran terbuka akan dilaksanakan bagi kutipan tol bagi kesemua lebuh raya di Malaysia.

“Dan akan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan e-Wallet untuk turut serta dan tiada lagi monopoli oleh pihak Touch ‘n Go,” ujarnya.

Lebuhraya berkenaan adalah Lebuhraya Sungai Besi, Baru Pantai, Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur, Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.

Katanya, MLFF akan dijalankan sebelum penghujung Oktober bagi menilai sistem tersebut sebelum dilaksanakan kesemua lebuh raya.

“Lokasi Proof of Concept (POC) ini sedang dalam rundingan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Pelaksanaan sepenuhnya MLFF ini akan dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024,” tambahnya.

Sumber: PLUS

BACA: Sistem Pembayaran Terbuka Dalam Pengangkutan Awam Selain TnG Sedang Diusahakan

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana