Siakap Keli
panda ya ya kurus
Gambar: IC via Global Times

Tular Kurus & Lemah, Panda Di Zoo US, Ya Ya Akan Pulang Ke China

Tular Kurus & Lemah, Panda Di Zoo US, Ya Ya Akan Pulang Ke China

Keadaan fizikal panda bernama Ya Ya di Zoo Memphis, Tenesse di US yang kelihatan kurus dan lemah ‘memaksanya’ untuk dihantar pulang ke negara asalnya, China tidak lama lagi.

Merujuk Persatuan Zoologi China, sekumpulan pakar haiwan melibatkan doktor dan penjaga dari China telah tiba di US dan dihantar ke Memphis untuk melakukan penilaian.

Lapor Global Times, penilaian tersebut melibatkan keadaan hidup, kesihatan dan pembiakannya ekoran kondisinya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat China.

Difahamkan penilaian tersebut turut mendapat kerjasama bersama Zoo Memphis dalam mengatur semula pembiakan, rawatan & pemulihan yang diperlukan oleh panda gergasi itu.

Dalam masa sama perbincangan langkah-langkah untuk mempercepatkan prosedur Ya Ya pulang ke tanah airnya (China) turut dijalankan oleh jabatan dan agensi US berkaitan.

Oleh itu, China difahamkan telah mempersiapkan prosedur kelulusan untuk membawa haiwan tersebut pulang semula ke sana.

Difahamkan, Ya Ya akan dikuarantin di Shanghai terlebih dahulu kira-kra sebulan selepas dia kembali dari US.

Sekiranya kesihatannya bertambah pulih, panda gergasi itu akan ditempatkan di Zoo Beijing selepas ini.

Dalam masa sama Zoo Beijing juga sudah membuat persiapan menyambut kehadiran Ya Ya daripada segi tempat pembiakan, rancangan pemakanan, penjagaan, perubatan dan bekalan makanan.

BACA: Penemuan Puluhan Bangkai Kucing: Polis Cari Suspek

Tular video Ya Ya nampak sakit

Kredit: World of Animals

Sebelum ini, tular satu rakaman yang diambil oleh warga maya US di Zoo Memphis yang menunjukkan keadaan hidup Ya Ya yang dipercayai kelihatan tidak terurus, lemah dan kurus.

Dalam video tular berkenaan, buluh yang disediakan oleh pihak zoo kelihatan sukar untuk ditelan Ya Ya, selain ia dilihat terpaksa meminta makanan daripada pengunjung.

Selain itu, sosok tubuh Ya Ya yang kurus dan keadaan hidup yang kotor juga mengundang kebimbangan orang ramai.

Susulan itu, ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga maya mengenai status kesihatannya.

Oleh itu pihak berkepentingan diseru (orang ramai) agar panda tersebut dapat dihantar kembali ke negaranya sendiri supaya dapat dijaga dengan baik.

Carian Ya Ya melonjak di internet

Dalam pada itu, pencarian mengenai Ya Ya di enjin carian serta platform media sosial China seperti Sina Weibo dilapor mencatat angka tertinggi buat masa ini.

Antara kata kunci yang dicari adalah seperti ‘Ya Ya terus mengemis untuk makanan’ dan ‘Apa yang boleh kita lakukan untuk khazanah negara pulang’.

Sejarah Ya Ya di US

Imbas kembali pada April 2003, Ya ya dari Zoo Beijing dan Le Le dari Zoo Shanghai tiba di Zoo Memphis sebagai sebahagian daripada projek pemuliharaan dan penyelidikan antara Persatuan Taman Zoologi China dan US.

Pada mulanya, perjanjian itu diikat selama 10 tahun, kemudian dilanjutkan lebih 10 tahun lagi pada 2013.

Bagaimanapun, pasangan Ya Ya iaitu Le Le dilapor telah meninggal dunia di zoo berkenaan pada usianya 25 tahun.

Justeru kebimbangan orang ramai terhadap Ya Ya telah berkembang menjadi kempen spontan dalam kalangan warga China di seluruh dunia.

Kempen tersebut menggariskan beberapa perkara seperti mahu pihak tertentu menjalankan pemeriksaan terhadap kehidupan panda yang dihantar ke zoo luar negara.

BACA JUGA: Harimau Bintang Terlepas Dari Zoo, Netizen Berseloroh Kaitkan Dengan Karakter Dalam Filem Madagascar

Kesihatan pasangan panda mencetuskan kerisauan orang ramai

Kredit: Zoo Negara

Sementara itu, keselamatan dan kesihatan sepasang lagi panda gergasi yang ditempatkan di US, Mei Xiang dan Tian Tian turut sama membimbangkan orang ramai.

Video yang dimuat naik oleh warga maya menunjukkan kedua-dua panda itu dalam keadaan lemah dan disyaki mengalami masalah kesihatan.

Mei Xiang melahirkan anak pada 21 Ogos 2020 di US, sejurus selepas hari lahirnya yang ke 22 tahun.

Ini adalah kali pertama seekor panda berjaya dihamilkan dan melahirkan menggunakan air mani beku di sebuah zoo di US.

Kredit: Zoo Negara

Perkara tersebut menjadikan Mei Xiang sebagai panda tertua yang melahirkan anak di negara itu.

Di bawah perjanjian yang sebelum ini diperbaharui oleh zoo, pasangan panda bersama anaknya, Little Miracle akan kekal di US sehingga akhir 2023.

Sumber: Global Times

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana