Siakap Keli
banduan bunuh satu sel
Kredit: BERNAMA

Banduan Bunuh Rakan Satu Sel Didakwa

Banduan Bunuh Rakan Satu Sel Didakwa

MELAKA, 29 Mac (Bernama) — Seorang banduan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membunuh rakan satu sel selepas terbabit dalam pergaduhan di Kompleks Penjara Sungai Udang, Februari lepas.

Tertuduh, 34, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Dia dituduh dengan sengaja menyebabkan kematian seorang lelaki warga Indonesia, Paidi Atmok Sukar, 47, di sebuah bilik di Tingkat 1, Zon A, Blok Cekal Kompleks Penjara Sungai Udang, kira-kira 2.15 petang pada 17 Feb lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J Banusha manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Mazana menetapkan 29 Mei untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Pada 24 Feb lepas, media melaporkan seorang banduan warga Indonesia berusia 47 tahun meninggal dunia di Hospital Melaka selepas tujuh hari menerima rawatan akibat kecederaan selepas bergaduh dengan rakan satu sel di Kompleks Penjara Sungai Udang.

Guna berus gigi lolos dari penjara, dua banduan berjaya dicekup polis ketika leka makan pankek

Kredit: AFP

Sebelum ini di luar negara, media melaporkan dua banduan warga Amerika yang dilaporkan melarikan diri dengan menggali dinding penjara menggunakan berus gigi berjaya ditahan beberapa jam kemudian ketika sedang leka menjamah ‘pancake’.

Kedua-dua banduan berusia 37 dan 43 tahun itu dilaporkan hilang dari Newport News Jail Annex, Virginia pada petang Isnin lalu.

Menurut syerif, banduan tersebut telah mengambil kesempatan ke atas dinding penjara yang mempunyai kerosakan itu untuk melarikan diri.

Mereka didakwa menggunakan sejenis alat yang diperbuat daripada berus gigi dan objek logam untuk menggali lubang di dinding sel penjara yang rosak tersebut.

Tambah laporan itu, mereka juga menggunakan palang penghalang untuk mengorek lubang pada dinding itu sebelum berjaya melarikan diri.

Walau bagaimanapun, kebebasan kedua-dua banduan itu tidak bertahan lama kerana mereka akhirnya berjaya ditangkap pada awal pagi Selasa lalu. Mereka ditangkap ketika sedang berada di sebuah restoran rangkaian pancake IHOP di bandar Hampton yang berdekatan.

Sumber: BERNAMA

BACA: Tempat ‘Favourite’ Mak-mak Beli Perabot, CEO Jawab Kenapa Jenama Terkenal Courts Mammoth Tukar Nama Jadi COURTS Malaysia

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana