Siakap Keli
mayat bayi bawah apartmen
Gambar: CNA/The Straits Times

Mayat Bayi Dilapor Ditemui Di Bawah Apartmen 

Mayat Bayi Dilapor Ditemui Di Bawah Apartmen 

SINGAPURA – Mayat seorang bayi dilaporkan telah ditemui di bawah apartmen di Hougang Avenue di Singapura hari ini, lapor CNA.

Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), pihaknya telah menerima maklumat berkaitan penemuan itu kira-kira pada pukul 11.05 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian, mayat seorang bayi ditemui di bawah apartmen itu dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pakar perubatan kecemasan,” katanya.

Memetik The Straits Times, sebuah rumah di tingkat dua telah dikepung oleh pihak polis. Difahamkan terdapat kesan titisan darah ditemui di sekitar lobi lif berdekatan tingkat itu.

Susulan kejadian itu, pihak polis kini sedang menyoal siasat seorang gadis berusia 18 tahun untuk membantu siasatan mengenai kes terbabit.

BACA: “Kerja Takkan Habis,” Susah Nak Faham Penat Suri rumah, Ini Cara Nak Hargai ‘Bidadari’ Di Rumah Korang

Sementara itu, seorang penduduk memberitahu media bahawa dia tidak menyedari mengenai kejadian itu sebelum dikejutkan dengan kehadiran pihak berkuasa pada jam 1 petang.

“Sepanjang tinggal di sini, perumahan ini sangat sunyi.

“Saya tidak mendengar apa-apa dan terkejut melihat ada polis di luar rumah,” katanya.

Manakala, seorang lagi penduduk memberitahu bahawa rumah tersebut sebelum ini dihuni oleh sebuah keluarga. Mereka telah berpindah sejak tiga tahun lalu.

Terdahulu, satu janin dilaporkan turut ditemui di Taman Pasir Ris pada 24 Disember lalu.

Menurut The Straits Times, janin tersebut telah ditemui oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Kanak-kanak tersebut yang ketika itu sedang berkhemah bersama keluarganya memaklumkan mengenai penemuan tersebut kepada ibunya dan menghubungi pihak polis.

Di Singapura, adalah menjadi satu kesalahan jika menyembunyikan kelahiran bayi dengan cara mengebumikan atau membuang mayat bayi tersebut secara rahsia.

Ini termasuk sama ada kanak-kanak itu meninggal dunia sebelum, selepas atau semasa kelahirannya.

Jika didapati bersalah, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda atau kedua-duanya sekali.

BACA JUGA: Umur Muda Tapi Muka Nampak Tua, 9 Makanan Mungkin Boleh Jadi Punca

Sumber : The Straits Times,  CNA NEWS

Ezzatul Syafiqah