Siakap Keli
gempa bumi utara sumatera
Kredit: BERNAMA

Gempa Bumi Kuat Landa Utara Sumatera, Indonesia, Beberapa Negeri Mungkin Rasa Gegaran – MetMalaysia

Gempa Bumi Kuat Landa Utara Sumatera, Indonesia, Beberapa Negeri Mungkin Rasa Gegaran – MetMalaysia

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama)Gempa bumi kuat bermagnitud 6.2 melanda Utara Sumatera, Indonesia pada 10.59 malam hari ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata gempa bumi berkedalaman 86 kilometer itu berlaku pada jarak 84 kilometer barat daya dari Padang Sidempuan, Indonesia.

Kredit: BERNAMA

Beliau berkata gegaran mungkin dirasai di Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia, katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur turut mengesahkan menerima satu panggilan berhubung gegaran itu daripada penduduk Pangsapuri Pudu Impian 1 di Jalan Cheras di sini.

Menurut jurucakap JBPM KL, sepasukan anggota bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi untuk pemantauan dan pemeriksaan lanjut.

Semakan di laman sosial Twitter pula mendapati pengguna dari pelbagai lokasi turut merasai gegaran malah ada yang mengongsikan tangkap layar amaran awal gempa bumi dari sistem Android.

Antara reaksi mereka ialah menyoal kesahihan insiden itu.

“Semoga selamat dan baik-baik saja bagi yang terkesan dengan gempa bumi itu,” ciap seorang pengguna akaun Twitter.

Seorang lagi menciap “Rumah aku dah lah tinggi, boleh rasa gegaran tadi.”

BACA: Gempa Bumi Kuat Landa Ecuador & Peru, 14 Orang Dilapor Terkorban

239 cedera dalam gempa bumi di Iran

Kredit: snexplores.com pic

Sebelum ini, media melaporkan jumlah mangsa yang cedera dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 5.6 yang menggegarkan barat laut Iran pada pagi Jumaat kini mencecah 239 orang, lapor Xinhua memetik ISNA.

Gempa yang berlaku berhampiran daerah Khoy di wilayah Azarbaijan Barat pada 6.46 pagi waktu tempatan (0316 GMT) itu mempunyai kedalaman 8 kilometer, menurut Pusat Seismologi Iran (IRSC).

Ketua Pertubuhan Bantuan dan Menyelamat Iran, Sadeq Mahmoudi berkata 50 mangsa yang cedera adalah dari daerah Khoy dan selebihnya dari daerah Salmas.

Beliau berkata 219 orang telah discaj manakala 20 lagi termasuk tujuh dari Khoy dan 13 dari Salmas, dimasukkan ke wad.

Mahmoudi berkata khemah dan selimut telah dihantar kepada penduduk di kawasan yang dilanda gempa bumi.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana