Siakap Keli
sam ke ting basikal lajak
Gambar: Bernama

Kes Basikal Lajak: ‘Saya Akan Bawanya Hingga Ke Kubur,’ – Sam Ke Ting

Kes Basikal Lajak: ‘Saya Akan Bawanya Hingga Ke Kubur,’ – Sam Ke Ting

Insiden ngeri yang mengorbankan lapan remaja penunggang basikal lajak akan menghantui dan diingati sehingga ke alam kubur, menurut Sam Ke Ting.

Ke Ting yang dibebaskan mahkamah atas kesalahan memandu secara melulu pada 2017 itu berkata dirinya sering dihantui kejadian ngeri itu sejak ia berlaku.

“Setiap detik dan pemikiran saya dihantui kejadian malang yang mengorbankan remaja itu dan saya akan bawanya hingga ke kubur,” ujarnya.

Menurut wanita berusia 28 tahun itu, dia sering tertanya-tanya mengenai kehidupan keluarga remaja yang terkorban itu.

Tambahnya, peristiwa itu sering bermain difikirannya selain turut memikirkan masa depan keluarga terbabit.

Selama perbicaraan yang dijalankan selama enam tahun itu, kerani tersebut berkata sebarang kenyataan yang diberi tidak dapat menyembuhkan luka yang dialami oleh keluarga mangsa.

Ujarnya, sudah pasti kemalangan tersebut memberikan kesan yang besar terhadap keluarga mangsa.

“Kata-kata saya tidak dapat membawa arwah kembali ke pangkuan keluarga, tetapi saya ingin sampaikan kepada keluarga mereka, bahawa saya turut memikul keperitan tragedi itu.

“Saya dengan suci hati memohon maaf kepada mereka walaupun saya tahu dan faham bahawa kemaafan itu berat untuk diterima,” katanya.

Ke Ting berkata demikian pada sidang media di lobi Istana Kehakiman Putrajaya.

Dalam masa yang sama, dia menyifatkan kemalangan tersebut adalah tidak disengajakan dan menzahirkan rasa berterima kasih kepada mahkamah dan para hakim kerana mendengar pembelaannya dengan adil.

BACA: “Petang Sikit Make-up Dah Pecah,” 5 Rutin Wajib Buat Dari Sekarang Kalau Nak Kulit Cantik Masa Raya

Ke Ting dibebaskan mahkamah

Kredit: BERNAMA

Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Rayuan pada Selasa telah membebaskan Ke Ting atas kesalahan tersebut.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdulah.

Mereka sebulat suara, membenarkan rayuan Sam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan itu.

Hadhariah berkata sabitan Sam kerana memandu secara melulu tidak boleh bertahan kerana pertuduhan yang dikenakan terhadapnya ada kekurangan.

Hakim itu berkata terdapat penggandaan kesalahan dalam pertuduhan itu iaitu melakukan pemanduan secara melulu dan memandu secara berbahaya.

Beliau berkata Seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan bahawa pertuduhan mesti mempunyai satu kesalahan.

Sumber: Sinar Harian

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana