Mula-Mula Nak Marah, Abang Lori Lembut Hati Lepas “Rider” Patah Balik Minta Maaf
Memandu atau menunggang di jalan raya memerlukan mata, tangan, kaki dan fikiran sentiasa peka dengan keadaan trafik. Ia bagi memastikan kita sentiasa selamat pergi dan pulang ke destinasi yang dituju.
Hal ini kerana bukan hanya kita yang menggunakan laluan tersebut, namun jutaan kenderaan lain menggunakan jalan yang sama. Hampir setiap hari, ada sahaja berita kemalangan atau nahas yang membabitkan lalu lintas.
Tambahan lagi, setiap orang mempunyai destinasi yang berbeza-beza seperti ingin pulang ke rumah atau sedang melakukan pekerjaan. Bagaimanapun, ia bukanlah tiket untuk kita memandu atau menunggang secara melulu di atas jalan raya.
Perkara ini bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri malah menyusahkan pengguna lain. Oleh itu, sikap bertolak ansur dan budi bicara juga penting ketika berada di atas jalan.
Baru-baru ini tular satu rakaman kenderaan (dashcam) milik seorang pemandu lori yang menghadapi situasi tidak terjangka. Rakaman berdurasi seminit 24 saat itu telah dimuat naik oleh @izsmile.yusof di platform TikTok.
Dalam rakaman itu, memaparkan pemandu lori tersebut berhenti di simpang bulatan sebelum membelok ke kiri (susur keluar pertama bulatan).
Tanpa disangka, seorang penunggang motosikal dipercayai penghantar makanan memotong dari arah kiri belakang lori tersebut. Perkara itu membuatkan pemandu kenderaan berat tersebut tidak berpuas hati.
Rider Sanggup Pusing Minta Maaf
Namun, kemarahannya luntur apabila rider terbabit membuat pusingan semula untuk datang meminta maaf kepadanya.
BACA JUGA: Lelaki Kesal, Jiran Bina Tembok Setinggi 2 Meter Halang Jalan Keluar
“Sorry bang, ingat abang nak pusing,” katanya dalam klip berkenaan.
“Daripada kiri bahaya tau. Kalau termasuk bawah lori tadi, panjang cerita kau,” jelas pemandu lori itu.
“Ya bang, minta maaf. Saya ingat abang nak pusing sana. Sebab itu saya ambik side kiri,” kata lelaki itu yang mengakui kesalahannya.
Dari Marah Bertukar Teguran
“Takde, tak kira macam mana pun, jangan duduk belah kiri lori. Tolonglah…merayu sangat-sangat.
“Nak cepat macam mana pun, janganlah potong lori daripada belah kiri. Tambah-tambah lagi dekat simpang. Bahaya tau. Tadi… kalau tak perasan… haa bawah lori kau,” ujarnya.
Tambah pemandu lori terbabit, dia menasihati penunggang motosikal itu untuk tidak mengulangi kejadian yang sama.
“Hati-hatilah buat kerja tu. Janganlah buat macam tu lagi,” nasihatnya dengan nada lembut sebelum kembali bergerak.
@izsmile.yusof nilai la sendiri #fyp #abanglori
Bangga Dengan Sikap Yang Ditunjukkan
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial berasa kagum dengan sikap yang ditampilkan oleh kedua-dua belah pihak dalam menangani situasi itu.
Mereka menyifatkan pemandu lori berkenaan sabar walaupun dipenuhi dengan amarah. Manakala rider itu pula mengakui kesilapan yang dilakukannya.
Sehingga kini, video berkenaan telah mendapat lebih 922,000 tontonan dengan lebih 100,00 tanda “Suka” dan lebih 3,000 komen.
Sumber: TikTok @izsmile.yusof