Siakap Keli
Shuib & Watie bertunang
Gambar: Sinar Harian

Shuib & Watie Selamat Bertunang, Dijangka Bernikah 23 Jun Depan

Shuib & Watie Selamat Bertunang, Dijangka Bernikah 23 Jun Depan

Pelawak dan usahawan terkenal, Shuib dilaporkan selamat bertunang dengan Watie Hanifah dalam sebuah majlis tertutup di Shah Alam pada hari ini, lapor Astro Awani.

Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhammad berkongsi berita gembira itu menerusi Instagram Astro Gempak hari ini.

“Assalamualaikum, Shuib ini. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Hari ini 6 Mei 2023, Alhamdulillah, saya baru sahaja melangsungkan pertunangan dengan Watie.

Baca: Patutlah Ramai Nak Pergi, Majlis Raya Ni Siap Ada Konsert Artis Terkenal & ‘Game Xploria’

“Saya mohon doakanlah semoga perjalanan kami dipermudahkan. Doakan yang baik-baik untuk kami. Doakan tau.. Selamat Hari Raya,” katanya.

Majlis pertunangan tersebut menyaksikan Shuib menghadiahkan tiga dulang hantaran termasuk sirih junjung, kasut dan manisan. Manakala, Watie pula membalas lima dulang hantaran berupa kasut, manisan, sirih junjung, buah-buahan dan sampin.

Nikah 23 Jun depan

Selain itu, pasangan ini juga dijangka bakal melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 23 Jun depan.

Terdahulu, Shuib telah mengesahkan bahawa beliau bakal memperisterikan Watie selepas hampir dua tahun bergelar duda.

Shuib sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011.

Allahyarham Siti Sarah dilaporkan meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 lalu akibat jangkitan COVID-19.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Terdahulu, pelawak dan penyampai radio Shuib mendedahkan bakal menamatkan zaman dudanya bersama wanita pilihan, Watie Hanifiah pada Jun ini, lapor Gempak seperti yang dilapor Awani.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berkata, persiapan perkahwinan menjelang hari bahagia mereka telah menjangkaui sebanyak 30 peratus.

Ujar pelawak berusia 38 tahun itu, dia tidak mengimpikan majlis perkahwinan yang mewah namun mahu ia menjadi bermakna susulan ini merupakan perkahwinan pertama buat Watie.

“Kini sudah 30 peratus. Insya-Allah, bulan Jun. Nanti saya akan umumkan tarikh. Persiapan dari segi dewan sudah dilakukan. Saya akan jalankan majlis pernikahan dan persandingan. Persiapan busana belum lagi.

“Saya tak mahu bernikah dengan terlalu ‘grand’, tak mahu juga terlalu kecil-kecilan kerana memikirkan ahli keluarga. Ini adalah perkahwinan pertama dia, jadi sudah tentu keluarga belah sana mahu meraikan kami.

“Saya harap dapat buat majlis sederhana dan bermakna, jadi semua akan gembira,” katanya kepada Gempak, seperti yang dilapor Awani.

Sumber: Astro Awani

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka