Siakap Keli
ibadah haji
Kredit BERNAMA

Apa Hukum Kerjakan Ibadah Haji Guna Duit Bantuan Anak-Anak? Ikuti Jawapan Dr Zulkifli

Apa Hukum Kerjakan Ibadah Haji Guna Duit Bantuan Anak-Anak? Ikuti Jawapan Dr Zulkifli

Pada 21 Mei ini, negara kita akan menyaksikan penerbangan pertama bagi jemaah haji yang terpilih untuk Musim Haji 1444H/2023M.

Ibadah haji merupakan tuntutan kelima dalam rukun Islam bagi seluruh umat Islam yang berkemampuan untuk menunaikannya.

Disebabkan ibadah tersebut memerlukan kos yang agak tinggi, segelintir daripada mereka yang terpilih terpaksa meminjam wang daripada kaum keluarga untuk mencukupkan bayaran yang diperlukan.

Justeru, perkara itu mula cetuskan persoalan daripada orang ramai berkenaan hukum sah bagi seseorang yang menunaikan haji dengan menggunakan wang yang diberikan oleh anak-anak?

Untuk mengetahui jawapan soalan tersebut, mari kita ikuti pandangan dan pendapat daripada Dr Zulkifli Mohamad berkenaan topik tersebut.

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah sah seseorang yang menunaikan haji dengan menggunakan wang yang diberikan oleh anak-anak?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Agama Islam merupakan satu agama yang menganjurkan dan menggalakkan umatnya agar saling tolong-menolong ke arah kebaikan. Hal ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam membuat kebajikan dan ketaqwaan.”

 (Surah al-Maidah: 2)

Syeikh al-Sobuni berkata: Iaitu bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)

Menurut Syeikh al-Maraghi, isu bantu-membantu dalam melaksanakan sesuatu kebajikan dan ketakwaan adalah merupakan salah satu sendi utama dalam membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sempurna seperti mana yang dianjurkan di dalam al-Quran. Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa memberi pertolongan dalam mana-mana urusan yang membawa kepada kebaikan. Pertolongan ini termasuklah sesama individu ataupun masyarakat dalam soal kehidupan dunia mahupun kehidupan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1474)

Tuntutan dalam rukun Islam yang kelima

Melihat kepada persoalan di atas, haji yang dilakukan oleh seseorang dengan menggunakan wang yang diberikan oleh anak-anak adalah sah dan tertunailah rukun Islam yang kelima ke atasnya. Sememangnya kita dianjurkan untuk sentiasa membantu ibubapa kita dan melayan mereka dengan layanan yang paling baik. Selain itu, salah satu perbuatan yang baik dalam menyantuni ibu bapa ialah dengan memberi perbelanjaan kepada mereka untuk menunaikan ibadah haji. Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

 (Surah al-Isra’: 23)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/54)

Kami katakan bagi seseorang itu berhak menerima sumbangan atau tidak dalam melaksanakan ibadat haji. Akan tetapi jika anak-anak sanggup berkorban dengan seikhlas hati tanpa paksaan untuk membantu kedua orang tuanya dalam menampung perbelanjaan ibadat maka ia termasuk dalam birr al-walidain dan ta‘awaun bi al-birr wa al-taqwa yang terpuji. Semoga kedua orang tuanya mendapat haji yang mabrur dan anaka-anaknya mendapat pahala atas kebaikannya itu.

Kesimpulan

Berdasarkan soalan di atas, kami nyatakan bahawa ibadah haji yang dilaksanakan dengan menggunakan wang perbelanjaan yang diberikan oleh anak-anak adalah sah dan diterima di sisi Allah SWT.

Manakala bagi anak-anak yang menanggung kos perbelanjaan ibu bapa mereka untuk melaksanakan ibadah haji adalah dikira termasuk dalam perlakuan ihsan anak terhadap ibu bapa mereka.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Sumber: Maktabah Al Bakri

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka