Siakap Keli
Jenazah Awang Askandar
Gambar: Bernama

Jenazah Awang Askandar Dibawa Turun Hari Ini

Jenazah Awang Askandar Dibawa Turun Hari Ini

KUALA LUMPUR —  Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, dijangka dibawa turun dari Kem 4 ke Everest Base Camp hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata Kedutaan Malaysia di Kathmandu memaklumkan berita itu menerusi satu panggilan video hari ini.

“Sebentar tadi saya telah mengadakan sidang video bersama Datuk Mohammad Ali Selamat, Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar Negara dan Tuan Mohd Fazle Abu Hasan, Counsellor/Charge d`Affaires, Kedutaan Malaysia di Kathmandu.

“Terkini saya dimaklumkan bahawa pasukan sherpa dijangka membawa turun jenazah dari Kem 4 ke Base Camp pada jam 2 petang (waktu tempatan) hari ini (Isnin),” katanya.

Jenazah Bakal Dibawa Ke Kathmandu Esok

Tambah Armizan, sekiranya cuaca di lokasi berkenaan baik, jenazah Allahyarham bakal dibawa ke Kathmandu pada Selasa.

Kos Pengurusan Jenazah

Selain itu, perbincangan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Kerajaan Negeri Sabah juga telah dilakukan.

Ujarnya, kos tambahan yang diperlukan untuk pengurusan jenazah juga bakal ditampung.

BACA JUGA: Pendaki Malaysia Everest 2023 Muhammad Hawari, Dikhuatiri Hilang

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada APM dan Ahli Parlimen Papar, saya telah berbincang dan memaklumkan perkembangan terkini kepada Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Ketua Menteri Sabah memberikan komitmen bahawa Kerajaan Negeri akan membantu menampung kos tambahan yang diperlukan di luar tanggungan insurans. Ia bagi pengurusan jenazah Allahyarham untuk memastikan jenazah dapat dikebumikan di kampung halaman di Papar, Sabah sebagaimana hasrat ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, sumbangan bagi menambah tanggungan kos pengurusan juga telah disalurkan oleh Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Armizan juga memaklumkan, mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh dilakukan menerusi Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

Awang Askandar Dilapor Meninggal Dunia

Mangsa yang merupakan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dilaporkan meninggal dunia pada 10.30 pagi (waktu Nepal) Jumaat lalu.

Allahyarham meninggal dunia selepas terjatuh ketika mendaki gunung berkenaan.

Untuk makluman, Allahyarham merupakan salah seorang pendaki ME 2023 yang dianjurkan oleh kelab Eksplorasi Altitud.

Difahamkan, misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun. Ia turut mendapat sokongan pihak kerajaan serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

BACA JUGA: Pengarah APM Kedah Meninggal Dunia Ketika Misi Pendakian Everest

Sumber: Astro Awani

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?