“Aku Cinta Kamu,” Chong Wei Ajar Lin Dan Cakap Melayu
Nama Lee Chong Wei dan Lin Dan bukanlah suatu nama yang asing didengari oleh peminat sukan badminton di dalam mahupun luar negara.
Dua seteru hebat ini sering menjadi sebutan dan bualan peminat sukan itu meskipun kedua-duanya telah bersara dalam sukan tersebut.
Terbaru, nama Chong Wei dan Lin Dan sekali lagi menjadi sebutan selepas berjaya dipilih menjadi Hall of Fame Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Dua nama itu dipilih selepas berjaya meraih pelbagai gelaran sepanjang karier mereka dalam sukan badminton profesional tersebut.
Namun, apa yang ingin dikongsikan pada hari ini bukanlah berkenaan pencapaian mereka, sebaliknya berkenaan sebuah video yang dimuat naik Chong Wei dalam TikTok miliknya.
Berdasarkan perkongsian Chong Wei yang menggunakan nama @leechongweiofficial di media sosial tersebut, beliau dilihat cuba mengajar Lin Dan untuk bercakap dalam Bahasa Melayu.
Video tersebut dimulakan dengan Chong Wei memperkenalkan Lin Dan dan kemudian bercakap dengan menggunakan bahasa Mandarin.

Chong Wei ajar tiga jenis ayat utama dalam bahasa Melayu kepada Lin Dan
Chong Wei kemudiannya mengajar Lin Dan untuk bercakap ‘apa khabar’ dalam bahasa Melayu.
Lin Dan di dalam video itu dilihat dengan fasih menyebut ayat tersebut sambil melambaikan tangannya kepada kamera.

Ayat seterusnya yang di ajar Chong Wei ialah ‘terima kasih’. Sekali lagi Lin Dan tanpa masalah berjaya menyebut ayat itu dengan baik sekali.
Ayat yang terakhir Chong Wei ajar ialah ‘wo ai ni’ ataupun ‘aku cinta kamu’.
“Wo ai ni, aku cinta kamu,” kata Chong dalam video tersebut.
“Aku cinta kamu,” balas Lin Dan tanpa masalah.
Video tersebut kemudian diakhiri dengan gelak tawa oleh kedua-dua legenda badminton tersebut sambil berjabat tangan mesra antara kedua-duanya.

BACA: Apa Maksud ‘kPa’ Pada Vakum, Ini Nilai Minimum Kalau Nak Sedutan Yang Kuat
@leechongweiofficial Pernahkah anda dengar Lin Dan berbahasa Melayu? Have you ever wondered how Lin Dan sounded speaking Malay? Saksikan short video ni. Hebat jgak mamat ni.. Again , thank you Lin Dan bro, for being accommodative yet again. #leechongwei #lindan
♬ original sound – Lee Chong Wei Official – Lee Chong Wei Official
Untuk makluman, Lee Chong Wei merupakan pemain badminton profesional Malaysia yang memulakan karier bulu tangkisnya pada 2000 sehingga 2019.
Sepanjang kariernya, beliau telah menyertai kira-kira 217 kejohanan dan berjaya ke pentas akhir sebanyak 109 kali.
Dalam perjalanan kehidupannya sebagai jaguh badminton negara, Lee Chong Wei telah bermain sebanyak 864 perlawanan.
Beliau telah memenangi 705 perlawanan dan kalah dalam 159 perlawanan yang lain.
Anak jati Pulau Pinang ini berjaya meraih tiga pingat perak dari sukan Olimpik, empat perak dan satu gangsa dari BWF Championship.
Selain itu, beliau berjaya meraih sebanyak 68 gelaran serta memenangi wang kemenangan sebanyak kira-kira $1.85 juta (RM8.49 juta).
Sumber: leechongweiofficial