Siakap Keli
Stres Kerana Setiap Kali Masak Nasi Jumpa 'Ini', Kenali Bubuk Beras
Kredit: TikTok

Dah Pek & Simpan Elok Beras Bubuk Tetap Ada, Datang Dari Mana? Ini Jawapan Pakar

Dah Pek & Simpan Elok Beras Bubuk Tetap Ada, Datang Dari Mana? Ini Jawapan Pakar

Beras apabila jarang diguna atau disimpan untuk tempoh yang lama, sudah tentu akan menjemput ‘penghuni’ yang tidak diingini.

Biarpun saiznya kecil, tetapi kehadiran ‘pendatang’ mirip seperti kumbang dalam beras biasanya dalam jumlah yang banyak hingga boleh menimbulkan rasa geli.

Bukan itu sahaja, beras yang dipenuhi pendatang bernama bubuk atau kutu beras ini juga akan berkurangan beratnya.

Apabila diteliti secara dekat, butiran beras yang menjadi ‘ringan’ ini rupanya sudah memiliki kesan lompong di bahagian tengah. Puncanya, sudah tentu akibat dimakan kutu beras tersebut.

Melihat keadaan beras anda yang sudah lagi tidak molek, mood anda untuk memasak boleh terkubur begitu sahaja. Masalah ini bukan masalah yang asing. Sudah tentu bagi mereka yang biasa di dapur, paling tidak sekali seumur hidup pernah berdepan dengan masalah bubuk.

Hairannya, beras yang diserang ‘makhluk pendatang’ tadi sudah ditutup rapi dengan menggunakan bekas kedap udara.

Jadi, dari mana sebenarnya ia datang dan bagaimana untuk mengelak haiwan tersebut daripada merosakkan beras kita.

Seorang pengguna TikTok yang giat berkongsi kandungan mengenai bidang kawalan haiwan perosak, Naim Pest Control (@khairunnaim4) telah berkongsi jawapan mengenai makhluk misteri ini.

Serangga tersebut dikenali sebagai kutu beras, bubuk beras ataupun rice weevil. Difahamkan, haiwan ini dikategorikan sebagai haiwan perosak storan.
bubuk beras
Kredit: All American Pest Control

Sumber makanan serangga ini adalah produk bijirin-bijirin seperti biji benih gandum, tepung dan beras.

Di Malaysia, makanan ruji bagi masyarakat kita adalah nasi, maka tidak hairanlah haiwan ini banyak didapati dalam simpanan beras.

Kutu beras membiak dengan cara bertelur di dalam beras dan beras-beras itu tadi dijadikan tempat untuk menyimpan telur.

Caranya adalah dengan menebuk isi dalam butiran beras tersebut sehingga kosong. Maka, tidak hairanlah mengapa butiran beras menjadi ringan dan berlubang selepas ‘diserang’ serangga ini.

Kata Naim, kutu beras sememangnya sudah berada di dalam beras sebelum beras diproses dan dipek lagi. Setelah mencapai tempoh matang, maka kutu beras ini akan keluar daripada sarang yang menjadi tempat tinggalnya selama ini.

Seterusnya, kutu beras akan bertelur bagi membiak penyambung generasi kutu beras seterusnya.

Apabila beras jarang digunakan, maka semakin banyak dan mudahlah kutu beras ini untuk membiak membina ‘penempatan’.

Jika beras segera digunakan, kutu beras tidak sempat membesar dan membiak kerana beras-beras yang mengandungi serangga ini mungkin sudah dimasak menjadi nasi.

Namun begitu, tekstur beras yang ada bubuk ini akan menjadi sedikit rapuh dan mudah hancur.

Jika beras berkenaan ditanak menjadi nasi, nasi tersebut tidak akan bertahan lama dan menjadi cepat basi disebabkan strukturnya yang sudah dicemari.

Bagaimana nak keluarkan bubuk beras dari simpanan beras kita?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, haiwan perosak ini sudah sedia wujud di dalam beras sebelum diproses dan dipek.

Namun begitu, bubuk beras memiliki satu kelemahan yang ketara iaitu dengan suhu yang ekstrem. Naim berkata, haiwan ini sangat sensitif suhu, tidak mengira sama ada suhu rendah ataupun suhu tinggi.

Antara cara yang biasa diamalkan oleh rakyat Malaysia untuk menghalau makhluk ini adalah dengan menjemur beras yang ‘dijangkiti’ bubuk di bawah cahaya matahari yang terik.

bubuk beras
Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Kebiasaanya, beras tersebut akan dijemur dalam masa kira-kira 15 sehingga 20 minit bagi memastikan semua bubuk ‘keluar’ daripada ‘persembunyiannya’.

Pastikan kita menaburkan beras tersebut pada permukaan yang rata seperti talam ketika menjemurnya di tengah-tengah panas.

Selain itu, kita juga boleh meletakkan ‘bahan-bahan berbisa’ ke dalam beras agak bubuk beras tidak bergerak secara aktif.

Antara ‘bahan-bahan’ tersebut adalah daun salam (bay leaf) dan lada hitam kerana sifatnya repellent dan toksiknya terhadap haiwan terbabit.

Cara paling mudah – rajin memasak nasi di rumah

Sudah semestinya, salah satu cara yang paling berkesan bagi membasmi bubuk beras adalah dengan sentiasa memasak nasi secara berkala.

Hal ini tidak memberikan peluang kepada telur bubuk untuk menetas dan membina ‘utopia’ di dalam bekas simpanan beras anda.

Jelas Naim, kes bubuk nasi ini tidak terlalu serius sehingga memerlukan bantuan daripada pakar kawalan serangga untuk menyelesaikannya.

Apa yang hanya perlu dilakukan adalah, rajin memasak nasi di rumah. Jimat pun ya.

@khairunnaim4

Replying to @kapelperang Kutu beras / Bubuk / Rive weevil #fyp #naimpest #pestcontrol

♬ original sound – NAIM PEST CONTROL – NAIM PEST CONTROL

BACA: Bang Yongguk ‘Hentikan’ Konsert, Ingatkan Peminat “Maghrib Dah Masuk”

Sumber: @khairunnaim4 via TikTok

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma