Siakap Keli
pas politik matang
Kredit: BERNAMA

Pas Teruskan Agenda Politik Matang, Sejahtera Di Kelantan, Terengganu Dan Kedah

Pas Teruskan Agenda Politik Matang, Sejahtera Di Kelantan, Terengganu Dan Kedah

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) akan meneruskan agenda politik matang dan sejahtera di bawah kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah susulan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Penerangan Pas Pusat Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata pihaknya akan menunjukkan prestasi yang terbaik di bawah negeri kepimpinannya. 

“Pas yang diberikan mandat besar di Kelantan, Terengganu dan Kedah akan memberikan khidmat terbaik kepada semua.

“Pas juga akan meneruskan agenda politik matang dan sejahtera untuk semua rakyat di negeri pemerintahan Pas.

“Pas juga akan menjadi pembangkang yang konstruktif, kolaboratif dan bertanggungjawab di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan kemenangan PN pada PRN kali ini memberi isyarat rakyat menolak Kerajaan Madani gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Ujarnya, keputusan PRN yang jelas memihak kepada PN adalah satu isyarat penting berhubung pilihan rakyat terutamanya orang Melayu.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur terhadap pengundi yang memberikan keyakinan kepada Pas untuk mentadbir kerajaan negeri sekali lagi.

“Terima kasih kepada semua pengundi yang memberikan keyakinan kepada PN dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang diberikan amanah akan menjalankan tanggungjawab sebaiknya,” ujarnya.

BACA: PAS Umum Perubahan Gabungan MB & Timbalan MB Kelantan

Terengganu tiada pembangkang, rakyat boleh kritik kerajaan

Sebelum itu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menggalakkan budaya nasihat-menasihati diamalkan di Terengganu termasuk rakyat boleh mengkritik kerajaan menggunakan saluran rasmi, lapor Sinar Harian.

Difahamkan, ulasan itu diberikan olehnya berhubung isu Terengganu tidak mempunyai pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penggal ini.

Abdul Hadi berkata semua 32 Ahli Undangan Negeri (ADUN) memainkan peranan untuk memberikan pandangan dan menasihati kerajaan negeri.

“Ahli-ahli DUN boleh nasihati kerajaan. Kita akan galakkan budaya menasihati termasuk rakyat mengkritik kerajaan.

“Semua orang boleh kritik kerajaan termasuk orang dalam kerajaan sendiri. Rakyat juga boleh sampaikan apa-apa pandangan mereka menerusi saluran yang rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan pilihan raya negeri (PRN) oleh Pas Terengganu di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila pada malam Sabtu.

Tambah Abdul Hadi, walaupun Terengganu tidak mempunyai pembangkang dalam DUN namun perkara itu masih boleh dilaksanakan.

Sumber: @PASpusat/Twitter

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana