Siakap Keli
Bapa Baddrol Bakhtiar Meninggal
Gambar; FB Baddrol Bakhtiar

Bapa Baddrol Bakhtiar Meninggal Dunia

Bapa Baddrol Bakhtiar Meninggal Dunia

ALOR SETAR — Bapa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar dilaporkan meninggal dunia sebentar tadi.

Berita duka pemergian bapa kepada bekas pemain Sabah FC itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook.

“Assalamualaikum, untuk makluman semua. Ayahanda kepada Yang Berhormat (YB) Baddrol baharu sahaja menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau sebentar tadi.

“Sama-sama kita doakan semoga roh ayahanda YB Baddrol ditempatkan di kalangan orang-orang beriman dan di ampunkan segala dosanya,” maklum kenyataan tersebut.

BACA JUGA: Baddrol Bakhtiar Sah Bertanding Untuk PN Bagi Kawasan DUN N22 Gurun

Sementara itu, Astro Awani turut melaporkan Allahyarham, Bakhtiar Md Isa, 66 tahun meninggal dunia di kediamannya di Cinta Sayang Resort Villa pada jam 6.04 pagi tadi.

Difahamkan, Allahyarham telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sejak beberapa hari lalu sambil ditemani oleh Baddrol.

Menurut bapa mentua Baddrol, Mustafa Khalid Hanafi, 66, Allahyarham baharu selesai menjalani pembedahan bagi penyakit angin pasang di hospital berkenaan.

Tambahnya ketika dihubungi, jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Taman Ria, Sungai Petani selepas Zuhur. Manakala proses pengebumian akan dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Busyro, Merbok.

Terdahulu, Baddrol yang merupakan bekas pemain bola sepak telah dipilih menjadi wakil rakyat pada 12 Ogos lalu. Ia selepas beliau memenangi kerusi DUN Gurun yang dipertandingkan.

Baddrol yang bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN) menang di N22 Gurun dengan meraih sebanyak 17,771 undi dengan jumlah majoriti sebanyak 6,584.

Kemenangannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini juga dimaklumkan menerusi muat naik di Facebook.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan dorongan dari seluruh warga Gurun atas kepercayaan kepada saya untuk berkhidmat di Gurun ini.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jentera PAS, Bersatu dan Gerakan yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dari awal sehingga ke akhirnya. Yang pasti, perjuangan ini bukanlah pengakhirnya.

“Dengan ini, secara tidak langsungnya bermulalah amanah dan khidmat bakti saya selaku ADUN Gurun.

“Mohon doa semua, in sha Allah dengan segala kudrat yang ada, akan saya lakukan yang terbaik. Mandat ini untuk rakyat,” jelasnya.

Sumber: FB Baddrol Bakhtiar, Astro Awani

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?