“Abang Bas” Bersengkang Mata Bantu Jayakan Sambutan Hari Kebangsaan 2023
PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) — Saat warga Malaysia nyenyak tidur dan berehat bagi mendapatkan tenaga untuk hadir ke sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya hari ini, “abang bas” bersengkang mata demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pengunjung.
Pemandu bas (Kapten Bas) Rapid KL Mohammad Saudi Abd Sahi berkongsi keterujaan dapat menabur bakti kepada negara pada kemuncak sambutan Hari Kebangsaan di sini dengan memastikan penumpang dibawa dengan selamat untuk sampai ke destinasi dituju.
Memulakan tugas seawal 3 pagi berbanding tugasan kebiasaannya pada 6 pagi di sekitar Maluri, Cheras, Mohammad Saudi berkata tugasan memandu bas dua tingkat untuk membawa penumpang ke Dataran Putrajaya ialah satu bentuk pengorbanan sekali gus cara menzahirkan kecintaan kepada negara.
“Saya bersemangat bekerja hari ini sebab walaupun tak dapat bersama-sama untuk pergi tengok sambutan (Hari Kebangsaan) secara langsung, melihat orang ramai yang bersemangat datang, saya lebih semangat (bekerja),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohammad Saudi merupakan seorang daripada Kapten Bas yang terlibat dalam perkhidmatan bas perantara percuma dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya.
BACA: Viu Buat Showcase Percuma 31 Ogos, Boleh ‘Meet & Greet’ Artis Termasuk Bunkface & MK K-Clique
Selain laluan itu, Rapid KL juga menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma merangkumi Nasyrul Quran Presint 14 dan Marina Putrajaya ke Dataran Putrajaya.
Seorang lagi pemandu Bas Ahmad Naisabury Abdul Malik berkata sambutan tahun ini meriah memandangkan jumlah pengunjung yang sudah menunggu untuk menaiki bas di stesen Putrajaya Sentral agak ramai seawal 4 pagi tadi.
“Bila tengok orang ramai macam ini, kita pun jadi semangat nak kerja, saya melihat sambutan sangat meriah sebab jalan pun sesak hari ni,” katanya.
Mahasiswi Nursyahirah Osmawi, 24, berkata beliau yang kali pertama ingin merasai pengalaman hadir ke sambutan Hari Kebangsaan memilih menaiki pengangkutan awam kerana lebih mudah dan tidak perlu “pening kepala” mencari kawasan tempat letak kereta.
“Sebab hari ini cuti, saya dan rakan ambil peluang ke Dataran Putrajaya, bagi saya naik pengangkutan awam ini lebih mudah dan jimat berbanding bawa kereta ke sini dari Damansara,” katanya ketika ditemui di stesen MRT Putrajaya Sentral.
Berkongsi pandangan sama, arkitek Hud Bakar, 60, yang memandu dari ibu kota memilih parkir di Putrajaya Sentral sebelum menaiki bas perantara ke Dataran Putrajaya kerana lebih mudah berbanding bersesak-sesak merebut tempat letak kereta.
“Lebih senang sebab stesen Putrajaya Sentral banyak tempat parkir jadi naik bas perantara sahaja. Awal pagi pun orang sudah ramai, menunjukkan semangat rakyat Malaysia kita (menyambut Hari Kebangsaan) yang berbilang kaum,” katanya yang ditemani anak lelakinya Kaizer Hud.
Sumber: BERNAMA