Siakap Keli

Empat Sekeluarga Dikhuatiri Hilang Sudah Ditemui Selamat

Empat Sekeluarga Dikhuatiri Hilang Sudah Ditemui Selamat

Empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang selepas bercuti di Pulau Perhentian sebelum ini dilaporkan sudah ditemui selamat.

Berita berkenaan dikongsikan oleh ayah kepada dua orang kanak-kanak, iaitu antara yang dikhuatiri hilang melalui perkongsian Facebooknya, Ah Pek sebentar tadi.

”Alhamdulilah ibu mertua, adik ipar lelaki dan dua orang anak saya telah selamat dijumpai. Terima kasih pada semua rakan, pihak polis dan semua yang terlibat membantu kes ini sehingga selesai”.

Menurutnya lagi, dia kini dalam perjalanan dari Terengganu dan menuju pulang ke Kluang untuk menarik balik laporan.

”Tanpa bantuan anda siapalah saya. Sekali lagi ucapan ribuan terima kasih bagi semua yang membantu, mendoakan, menyampaikan.

”Semoga Tuhan membalas jasa baik dan niat murni tuan-tuan semua. Alhamdulilah, syukur,” katanya lagi.

Setakat ini, pengguna Facebook tidak memberitahu sebab semua ahli keluarganya gagal dihubungi dan apa yang berlaku terhadap mereka dalam beberapa hari ketika kehilangannya.

Kali terakhir dikesan di Pekan Kuala Besut pada 1 Oktober

Sebelum ini, Polis Daerah Besut telah menerima laporan berhububg kehilangan empat orang individu pada 2 Oktober selepas bercuti di Pulau Perhentian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh IPD Daerah Besut sebentar tadi, pengadu memaklumkan orang hilang adalah ahli keluarganya yang terdiri daripada ibu, adik lelaki dan dua anaknya.

Kesemua mereka tidak dapat dihubungi sejak dari pagi 30 September sehingga ke hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt. Abdul Rozak Bin Muhammad berkata, siasatan mendapati kesemua mangsa pergi ke Pulau Perhentian pada 29 September.

Manakala pada 1 Oktober pula, semua mangsa dilaporkan telah menaiki bot dan sampai ke Jeti Kuala Besut pada jam kira-kira 9.00 pagi.

Kali terakhir mangsa dikesan adalah menerusi semakan kamera litar tertutup (CCTV) yang mendapati kelibat kenderaan yang digunakan mangsa.

Kereta mangsa didapati keluar dari Pekan Kuala Besut dan bergerak menuju ke arah jambatan seberang Kastam lebih kurang 10.06 pagi, hari yang sama.

BACA: Rasmi Bermula Hari Ini, Boleh Bayar Di 11 Tol Ini Guna Kad Debit & Kredit

Sumber: Ah Pek via Facebook

 

 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma