Siakap Keli
tugas tentera selain berperang
Gambar: TLDM

Selain Berperang, Ini Tugas Lain Yang Tentera Malaysia Buat, Siap Pegang Senduk Masak Bubur

Selain Berperang, Ini Tugas Lain Yang Tentera Buat, Siap Pegang Senduk Masak Bubur

RAMAI antara kita yang menyangka, asal bertugas sebagai tentera saja mesti kena pergi berperanglah, jaga sempadan negaralah dan lain-lain lagi. Tentera darat kena berperang kat darat, tentera udara jaga ruang udara negara dan tentera laut pula kawal sempadan perairan.

Rupa-rupanya tentera pun ada tugas-tugas lain yang ramai orang mungkin tak perasan, iaitu turun padang ‘bertugas’ bersama masyarakat. Atau lebih tepat, tentera juga  terlibat dalam Military Operation Other Than War (MOOTW), di mana mereka akan melakukan pelbagai aktiviti mendekati masyarakat – selain tugas hakiki, perang.

Antara aset TLDM di perairan negara | Gambar: TLDM

Untuk pengetahuan korang, selain menjaga keamanan negara di segenap ceruk tanah air, tentera juga turut turun padang bertugas bersama masyarakat menerusi Program Jiwa Murni atau turut dikenali dengan Civil Military Cooperation (CIMIC), di mana ia menjadi teras keempat dalam Pelan Strategik Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) 2021-2025.

Macam yang disebut kat atas tadi, aktiviti di luar peperangan (MOOTW) yang turut dilakukan pihak tentera termasuklah menggerakkan misi bantuan semasa musibah dan bencana, serta aktiviti-aktiviti melibatkan masyarakat dan agensi lain berkaitan.

Jadi dalam konteks kali ni, Siakap Keli (SK) nak berkongsi tentang aktiviti anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau lebih sinonim dengan Navy People  bersama masyarakat baru-baru ini. Korang percaya tak, abang-abang tentera kita sebenarnya hebat-hebat belaka?

Abang Navy ‘friendly’ gotong-royong kemas sekolah

Suasana gotong-royong di SJKC Uk Ing | Gambar: TLDM

Kalau korang nak tahu, seramai 900 pegawai dan anggota dari Fakulti Kejuruteraan Kapal Diraja (KD) PELANDOK turun padang ‘beraksi’ di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Uk Ing di Sitiawan, Perak pada Februari dulu. Apa yang mereka buat?

Kat sana abang-abang Navy kita bergotong-royong membuat kerja-kerja renovasi semula sekolah macam mengecat, membaik pulih kerusi dan meja kayu yang dah rosak, menebang pokok, memasang dan menyelenggara pendawaian bangunan, serta mengemas kawasan sekeliling sekolah supaya nak wujudkan ‘vibe’ lebih positif untuk warga di sana.

Abang Navy ‘sado’ boleh tanam pokok bakau

Tak cukup ‘bina semula’ sekolah, abang-abang Navy kita ni guna ‘kesadoan’ mereka untuk bantu kembali melestarikan sumber alam semula jadi di kawasan maritim tau!

Beberapa anggota TLDM menanam anak pokok bakau | Gambar: TLDM

Untuk info, sebanyak 3,000 anak pokok paya bakau ditanam oleh abang-abang Navy  kita di Hutan Simpan Tanjung Burung, Pantai Remis dalam Program Pemulihan Hutan Paya Laut yang dianjurkan sebelum ini.

Tulang belakang dalam ‘misi alam sekitar’ kali ini adalah mereka yang berkhidmat di Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan (MPPL), KD SULTAN IDRIS I  dan Pusat Kepimpinan TLDM dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Abang Navy berhati murni cintakan sungai

Anggota TLDM membersihkan sampah di tepi sungai | Gambar: TLDM

Selain itu, abang-abang Navy dari Wisma Samudera di bawah Markas Pangkalan TLDM Lumut (MKPL) juga turut menjayakan CIMIC menerusi Program Sayangi & Cintailah Sungai Kita di Gopeng dengan orang kampung di sana.

Apa yang bagusnya, keterlibatan TLDM dalam ‘misi jaga sungai’ kali ini sangat penting untuk menyampaikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan sungai, serta tanggungjawab mereka – selaku penduduk setempat – dalam menjaga ekosistem selain boleh bersama-sama mencegah pencemaran daripada terus berlaku.

Abang Navy jadi cef masak bubur lambuk

‘Tangan yang keras mengangkat senjata, jangan disangka tak boleh ke dapur’. Itulah pepatah paling sesuai digunakan apabila melihat abang-abang Navy kita boleh ‘bertukar wajah’ dari tentera ke cef dengan memasak juadah bubur lambuk.

Memasak juadah bubur lambuk ketika Ramadan | Gambar: TLDM

Untuk pengetahuan korang, aktiviti CIMIC oleh MKPL pula adalah mereka bersama-sama menjayakan program memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada agensi-agensi kerajaan di sekitar daerah Manjung ketika awal Ramadan lepas.

Sudahlah pandai cantikkan sekolah, sado tanam pokok bakau, berjiwa murni cintakan sungai, malah power memasak lagi, inikan pula mampu mengeratkan hubungan silaturrahim sesama insan di samping mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia. Hebat betul abang-abang Navy kita ni!

Apa kata Panglima?

Bersandarkan ketersediaan barisan tentera yang sedia berkhidmat untuk masyarakat, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob menjelaskan bahawa tujuan CIMIC yang dilaksanakan oleh TLDM ini adalah bagi menyokong teras keempat Pelan Strategik MINDEF 2021-2025  iaitu memperkukuhkan kerjasama antara awam dan tentera demi pertahanan menyeluruh.

“Kerjasama awam-tentera pen­ting untuk memastikan kesinambungan dan keberkesanan usaha pertahanan negara.

“Dengan program CIMIC yang dilaksanakan ini, TLDM dapat memainkan peranan yang penting dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan maritim negara, sekaligus memberikan manfaat kepada masyarakat tempatan dan membangunkan kapasiti pertahanan secara holistik,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Jadi kesimpulannya, penting untuk kita semua tahu bahawa barisan tentera  negara kita bukanlah tugasnya menjaga keamanan tanah air semata-mata, malah ia sebenarnya jauh lebih besar daripada itu.

Kalau tentera sedia dan sanggup turun padang membantu kita, maka apalah salahnya giliran kita pula untuk bersama-sama membantu mempertahankan kedaulatan negara dengan menunjukkan sokongan jitu kepada ATM!

BACA JUGA: Jangan Cemas Pesawat Terbang Rendah – TLDM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'