Siakap Keli
lalat sukar ditangkap
Kredit: Live Science via Suman Acharya

Kenapa Lalat Sukar Ditangkap?

Kenapa Lalat Sukar Ditangkap?

Ketika sedang menjamu makanan, tiba-tiba terdengar bunyi dengung menandakan seekor lalat sedang mendekati diri anda. Pada mulanya, kita akan membiarkan namun lama-kelamaan lalat tersebut mula bertindak agresif dan membuatkan kita rimas.

Dari situ, kita dengan tekadnya mahu menangkap lalat tersebut dan mula mencapai pemukul lalat atau menggulung majalah dan dengan berhati-hati anda mendekatinya – Pap! Serangan mula diberikan.

Meskipun anda berfikir tindakan tersebut telah membuatkan seekor lalat mati namun sangkaan anda salah kerana lalat selalunya lebih cepat tindakan refleksnya dan biasanya berjaya menghindari pukulan tersebut.

Kalau nak tahu, lalat mempunyai banyak penyesuaian yang memberikan mereka tahap kecekapan lebih tinggi, kemampuan untuk bergerak dan persepsi yang mendorong mereka bertindak lebih baik serta cepat dalam menghindari pukulan.

Tidak hanya itu, bukti baharu juga menunjukkan bahawa sayap belakang lalat yang diubah suai memainkan peranan penting dalam melancarkannya ke dalam daratan dengan pantas — selalunya hanya dalam masa yang singkat.

Jenis-jenis lalat 

Kredit: AFP

Lalat rumah yang dikenali sebagai Musca domestica tergolong dalam jenis serangga Order Diptera atau true flies.

Lalat Diptera mempunyai sepasang sayap belakang yang telah diubah suai berkembang menjadi struktur kecil yang disebut halter.

Getaran yang dihasilkan membantu serangga itu menstabilkan badan ketika terbang dengan mengesan putaran badan selain ia menjadi isyarat kepada sayap.

Selain itu, lalat tersebut juga sama seperti lalat jenis Calyptratae, yang membuat getaran pada bahagian halter semasa terbang.

Dalam jurnal Proceedings of the Royal Society B: Biological Sciences, penyelidik melakukan selidikan terhadap lalat Calyptratae untuk melihat sama ada ayunan halter menjejaskan peralihan ketika terbang ke udara, yang mengarahkan input deria tambahan untuk membantu menyelaraskan pergerakan di sayap dan otot kaki.

Keputusan menunjukkan bahawa lalat jenis itu bergerak lima kali lebih cepat daripada lalat lain, di mana ia berlepas pada purata kira-kira 7 saat dan hanya satu pukulan sayap diperlukan.

“Tiada satu pun daripada Calyptratae yang mempunyai tempoh berlepas lebih dari 14 saat,” kata penyelidik.

Sekiranya dibandingkan dengan lalat selain Calypratate, ia memerlukan kira-kira 39 saat dan empat rentak sayap untuk berlepas.

Ia dapat dilihat selepas saintis merekodkan penerbangan lalat pada kelajuan sehingga 3,000 tangkapan dalam sesaat.

Para penyelidik juga mengatakan kestabilan lalat Calyptratae akan terjejas sekiranya halter itu dibuang di mana pendaratan tidak begitu lancar dan akan terhempas ke daratan.

Kredit: Live Science via Alexandra Yarger

Dengan adanya halter, ia membantu lalat Calyptratae untuk stabil selain bergerak dengan cepat dan melakukan pendaratan yang kemas serta dapat melarikan diri dengan pantas daripada pemangsa.

BACA: Kenapa Wartawan Tak Boleh Diserang Di Medan Perang?

Hilang dalam sekelip mata

Bagaimanapun, halter bukan satu-satunya senjata rahsia lalat dapat mengelak pukulan dengan pantas. 

Selain dari true flies, lalat buah (fruit flies) mempunyai kelebihan yang dahsyat seperti dapat mengubah haluan dalam masa kurang dari 1/100 sesaat – kira-kira 50 kali lebih pantas daripada mata berkerdip.

Kredit: AFP

Menurut saintis juga, serangga jenis itu sering berguling sehingga 90 darjah dan ada yang hampir terbalik ketika terbang, memaksimumkan dayanya.

Lalat juga mempunyai penglihatan yang luar biasa, yang membantu ia membuat tindakan pantas (lompatan) daripada ancaman.

Kira-kira 200 milisaat sebelum berlepas, lalat buah menggunakan amaran input visual tentang bahaya yang bakal terjadi untuk menyesuaikan posturnya dan menentukan arah yang akan melancarkannya ke tempat yang selamat.

Otak haiwan melihat peredaran masa dengan memproses imej pada kelajuan yang dikenali sebagai kadar gabungan kelipan, istilah yang menerangkan bilangan imej yang berkelip ke dalam otak dalam sesaat.

Dengan semua kelebihan terbina dalam ini, tidak hairanlah lalat yang anda cuba tangkap boleh melarikan diri dengan pantas.

Walau bagaimanapun, satu pendekatan yang mungkin meningkatkan peluang anda untuk menangkap lalat adalah menyasarkan pukulan ke tempat di mana lalat itu mungkin pergi dan bukannya di mana ia berehat.

Sumber: Live Science 

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana