Wanita Cipta Rekod Dunia, Miliki 38 Batang Gigi
NEW DELHI — Seorang wanita dari India yang berusia 26 tahun mencipta rekod dunia kerana mempunyai gigi paling banyak dalam kalangan wanita.
Memetik Guinness World Record, ibu kepada seorang anak itu difahamkan mempunyai 38 batang gigi, iaitu enam batang lebih banyak daripada purata gigi yang dimiliki oleh orang dewasa.
Wanita yang dikenali sebagai Kalpana Balan itu dikatakan mempunyai empat gigi tambahan pada bahagian rahang bawah dan dua gigi tambahan pada rahang atas, menjadikannya sebagai pemegang rekod gigi paling banyak dalam kalangan wanita setakat ini.

Difahamkan, sewaktu menginjak usia remaja, gigi Kalpana dikatakan mula tumbuh secara beransur-ansur.
Walaupun tidak mengalami rasa sakit akibat pertumbuhan gigi berlebihan itu, tetapi Kalpana sering mengalami masalah sewaktu makan berikutan makanan sering tersekat pada celah giginya.

Sewaktu menyedari ‘kehadiran’ gigi tambahan itu, ibu bapa Kalpana pada awalnya terkejut dan menyuruh untuk mencabutnya.
BACA JUGA: SPRM Beku Akaun Aman Palestin
Bagaimanapun, doktor gigi mencadangkan dia menunggu sehingga gigi itu tumbuh lebih banyak kerana ia tidak boleh dicabut dengan mudah.

Disebabkan takut untuk menjalani prosedur berkenaan, dia mengambil keputusan untuk mengekalkan giginya sehingga kini.
“Saya sangat gembira mendapat gelaran Rekod Dunia Guinness. Ia adalah pencapaian seumur hidup saya,” katanya.
Tambahnya, dia kini sedang menunggu dua lagi giginya yang belum tumbuh dan sekaligus memecahkan rekod itu sekali lagi.

Sementara itu, pemegang rekod gigi terbanyak bagi lelaki pula dipegang oleh Evano Mellone dari Kanada dengan 41 batang gigi.
Dianggarkan 3.8 peratus populasi dunia mempunyai satu atau lebih gigi tambahan.
Dalam istilah perubatan, pertumbuhan gigi berlebihan dipanggil sebagai hyperdontia atau polydontia. Walaupun punca sebenarnya masih tidak diketahui, hyperdontia dikatakan berlaku kerana masalah yang dialami sewaktu proses pembentukan gigi.
Selain itu, ia juga dikaitkan dengan dengan beberapa keadaan keturunan termasuk sindrom Gardner, penyakit Fabry, dysostosis cleidocranial dan bibir sumbing.
Sumber: Guinness World Record