Siakap Keli
harry maguire pemain terbaik epl
Gambar: AFP

Man United Ajak Undi Harry Maguire Sebagai Pemain Terbaik Bulanan EPL

Man United Ajak Undi Harry Maguire Sebagai Pemain Terbaik Bulanan EPL

Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United (MU) dalam satu hantaran mengajak orang ramai, khususnya peminat bola sepak untuk mengundi Harry Maguire sebagai Pemain Terbaik Bulanan EPL bagi November.

Harry, 30, ternyata berjaya menampilkan prestasi membanggakan sepanjang November apabila bermula sebagai kesebelasan utama.

MU berjaya memenangi kesemua tiga perlawanan EPL sepanjang November dan Harry terlibat dalam semua perlawanan tersebut.

Dalam ketiga-tiga perlawanan berkenaan, MU tidak mencatatkan sebarang bolos dan berjaya mengumpul sembilan mata penuh untuk melonjak ke posisi keenam liga.

Antara perlawanan paling diingati tentunya ketika menentang Fulham dimana Bruno Fernandez berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan.

MU ajak peminat bola sepak undi Harry Maguire sebagai Pemain Terbaik Bulanan EPL

Walaupun Bruno dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan atas sumbangan golnya, prestasi dan kawalan Harry di benteng pertahanan MU turut menjadi topik perbualan peminat bola sepak ketika itu.

“Dia memainkan peranan yang sangat penting dan persembahannya sangat bagus. Harry menunjukkan kualiti sebagai seorang pemimpin sama ada ketika (MU) mengawal permainan atau dalam kawalan lawan, sangat baik.

“Saya sangat gembira dengan persembahan yang ditunjukkan Harry,” kata Erik ten Hag, pengurus MU.

Harry berjaya mengekalkan prestasi yang baik ketika membantu kelab membenam cabaran Luton Town dalam perlawanan seterusnya.

Manakala dalam perlawanan menentang Everton di Goodison Park pula, Harry bersama rakan di benteng pertahanan MU berjaya bertahan dengan baik dan membantu kelab memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 3-0.

Menurut Premier League, statistik November menunjukkan Harry berkongsi kedudukan teratas sebagai pemain pertahanan yang mencatatkan jumlah hadangan tertinggi.

Manakala, Harry juga berada di kedudukan kelima statistik pemain yang terbanyak mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Harry tidak pernah memenangi anugerah Pemain Bulanan Terbaik EPL. Kali ini, dia perlu bersaing dengan beberapa pemain lain iaitu Jeremy Doku (Manchester City) dan Anthony Gordon (Newcastle).

Pesaing-pesaing lain adalah Thomas Kaminski (Luton), Raheem Sterling (Chelsea) dan Marcus Tavernier (Bournemouth).

Proses pengundian akan ditutup pada Isnin, 4 Disember ini.

BACA: Cybertruck Menang, Buat “Drag Race“ Lawan Porsche 911 Sambil “Towing” Porsche 911

Sumber: Manchester United

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.