Siakap Keli
resipi mi goreng basah
Gambar: Emee Sham via Masak Apa Hari Ni

Resipi Mi Goreng Basah ‘Nostalgia’, Bungkus Dengan Surat Khabar

Resipi Mi Goreng Basah Nostalgia, Bungkus Dengan Surat Khabar

Kebiasaannya, zaman sekarang ini agak susah nak cari mi goreng basah yang dibungkus dengan surat khabar. Sekarang ini, kalau nak bungkus makanan, kebanyakan kedai hanya akan gunakan bekas makanan polisterin ataupun yang transparent. 

Kalau gerai di tepi jalan pula, kebiasaannya peniaga tidak menjual mi goreng basah. Mereka hanya menjual mi goreng biasa saja. Jadi, macam mana anda nak dapatkan mi goreng basah yang dibungkus dengan surat khabar macam zaman dulu-dulu? Haa, apa lagi, masak sendiri lah!

Jangan risau, ada resipi yang dikongsikan oleh Encik Emee Sham di laman Facebook Masak Apa Hari ni. Siap bungkus dengan surat khabar lagi. Mari ikuti resipinya!

Bahan-Bahan Mi Goreng Basah

Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat mi goreng basah adalah satu bungkus mi kuning, isi ayam, air rebusan ayam, telur, sawi, bawang putih dan bawang merah. Selain itu, anda perlukan cili kisar, sos tiram, sos cili, tauhu goreng dan kicap lemak manis.

Mi kuning yang disediakan haruslah dibilas dulu dengan air paip supaya anda tidak terasa kapur yang ada padanya. Bawang putih dan bawang merah pula perlu ditumbuk halus. Seterusnya, anda perlu menghiris tauhu goreng yang akan digunakan.

Cara Memasak

Mula-mula, anda panaskan minyak dulu dan goreng dua biji telur setelah minyak sudah panas. Pastikan telur yang digoreng itu hancur kasar dan letakkan di tepi selepas digoreng. Sekiranya minyak anda kurang, anda boleh menambah sedikit minyak pada kuali.

Kemudian, tumiskan bawang-bawang yang telah ditumbuk halus sehingga garing. Selepas itu, masukkan pula cili kisar dan gaulkan sehingga rata. Cili kisar itu harus dimasak sehingga pecah minyak.

Seterusnya, masukkan pula isi ayam dan digaul dengan cili kisar sehingga rata. Biarkan seketika sebelum anda masukkan sos tiram dan sos cili. Gaul sehingga rata dan masukkan juga air rebusan ayam, biarkan air rebusan itu mendidih seketika.

Setelah air rebusan itu mendidih, masukkan kicap lemak manis dan sedikit kicap masin. Biarkan ia mendidih dahulu. Langkah seterusnya, masukkan tauhu dan telur yang digoreng tadi. Mi kuning pula dimasukkan sebagai bahan yang terakhir sekali.

Gaulkan mi bersama-sama kuah sehingga rata, masukkan sawi dan tauge. Sekiranya warna pada mi tidak begitu pekat, anda boleh menambah sedikit kicap lemak manis dan gaulkan sehingga rata. Selesai masak, anda boleh tutup api dan angkat mi goreng basah itu untuk dibungkus bersama surat khabar.

Gambar: Emee Sham via Masak Apa Hari Ni

Haa, lepas dah bungkus barulah boleh dihidang! Macam makan beli di kedai kan? Siap berbungkus lagi! Senang tak resipi ini? Kalau senang, anda cubalah. Selamat mencuba dan menjamu selera! Kalau nak makan, jangan lupa perahkan limau nipis, barulah sedap dimakan.

Sumber: Emee Sham via Masak Apa Hari Ni

BACA JUGA: Resipi Ayam Tandoori Homemade

Nurul Alya