Siakap Keli

Yuran Swasta Boleh Cecah 4 Angka Sebulan, Ini Cara Mohon Program Pendidikan Khas Integrasi

Pendidikan adalah hak setiap anak dan menjadi tanggungjawab yang wajib dilunaskan oleh setiap ibu bapa. Walau bagaimana sekalipun ‘keadaan’ kita sebagai orang tua, hak mereka untuk menuntut ilmu tidak boleh dinafikan.

Biar terpaksa bergolok-gadai, pendidikan anak tetap utama, malah cabaran pastinya lebih berat bagi mereka yang mempunyai anak istimewa.

Hasil tinjauan kami di media sosial, yuran pendidikan khas bagi anak istimewa di sekolah swasta bermula daripada ratusan hingga mencecah empat angka sebulan. Mujurlah negara kita menawarkan pendidikan percuma buat rakyat baik peringkat rendah dan menengah.

Malah, mungkin ada yang belum tahu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga menyediakan pendidikan khas bagi murid sekolah menengah melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di negara kita.

Secara ringkasnya, PPKI ialah program pendidikan bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) yang dihadiri oleh MBPK di kelas khas di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

MBPK ini boleh merupakan murid yang telah diperakukan oleh pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi sebagai murid yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan pertuturan, ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran atau ketidakupayaan pelbagai.

Memandangkan PPKI jarang disebut oleh masyarakat, jadi kali ini kami mahu berkongsi dengan pembaca, khususnya ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan pendidikan khas cara-cara untuk memohon penempatan di PPKI.

Dua cara memohon penempatan di PPKI

Untuk pengetahuan semua ibu bapa atau penjaga, terdapat dua cara untuk memohon penempatan bagi anak atau anak jagaan masing-masing di PPKI sama ada pada peringkat rendah atau menengah.

Dua cara untuk memohon tersebut adalah membuat permohonan secara dalam talian ataupun memohon secara manual.

Bagi permohonan secara dalam talian, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak atau anak jagaan boleh membuat permohonan terus melalui sistem aplikasi borang pendaftaran atas talian di Sistem Bersepadu Modul Pengurusan Awam atau ringkasnya MOiES KPM (idme.moe.gov.my).

Selain itu, bagi ibu bapa atau penjaga yang mempunyai akses Internet yang terhad, ibu bapa atau penjaga boleh juga membuat permohonan dengan bantuan pihak jabatan pendidikan negeri (JPN) atau pejabat pendidikan daerah (PPD) yang berhampiran.

Cara untuk memohonnya juga sangat mudah. Jika anda sebagai ibu bapa atau penjaga yang belum mempunyai akaun idme.moe.gov.my, anda hendaklah mendaftar sebagai “Pengguna Baru” terlebih dahulu.

Selepas itu, ikuti sahaja arahan yang diberikan melalui sistem berkenaan. Permohonan ini disediakan untuk permohonan bagi semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan yang berada di seluruh Malaysia.

Selain itu, ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan untuk menyediakan semua dokumen peribadi ibu bapa atau penjaga dan anak jagaan sebelum membuat permohonan bagi mengelakkan ibu bapa atau penjaga mengambil masa yang lama bagi tujuan permohonan penempatan tersebut.

Jika memohon dengan bantuan pihak JPN atau PPD, patuhi sahaja arahan yang dikeluarkan dengan menyediakan semua dokumen yang diperlukan.

Bagi penempatan murid Tahun Satu, permohonan secara manual boleh juga dilaksanakan oleh ibu bapa atau penjaga murid. Ibu bapa atau penjaga boleh merujuk JPN atau PPD yang berhampiran.

Usah risau, anda akan dibantu oleh pihak JPN atau PPD untuk mengisi borang berkenaan. Sama seperti permohonan dalam talian, segala dokumen peribadi ibu bapa atau penjaga dan anak jagaan perlu disediakan terlebih dahulu bagi memudahkan urusan permohonan penempatan murid.

Terdapat tiga pilihan persekolahan yang ditawarkan oleh KPM. Tiga pilihan tersebut ialah sekolah pendidikan khas (SPK), PPKI dan Program Pendidikan Inklusif (PPI).

PPKI ini ditawarkan pada peringkat pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah atau pendidikan lepas menengah.

KPM buat saringan untuk membantu mengenal pasti murid berkeperluan pendidikan khas

Di pihak KPM pula, Kementerian turut menjalan program saringan khas untuk mengenal pasti murid berkeperluan pendidikan khas, iaitu melalui Program Saringan Penentuan Murid Berkeperluan Khas (PROSPER).

Sebanyak 91 saringan dibuat melibatkan 5,500 orang murid dalam tempoh tiga bulan.

PROSPER memberi fokus untuk mengenal pasti murid-murid yang sudah berusia sembilan tahun tetapi masih belum menguasai kemahiran 3M, iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira.

Murid-murid yang dikenal pasti sebagai MBPK yang terdiri daripada enam kategori akan mengikuti pendidikan yang bersesuaian sama ada di SPK, PPKI atau PPI.

Enam kategori tersebut ialah ketidakupayaan fizikal, pendengaran, penglihatan, pertuturan dan masalah pembelajaran merangkumi Sindrom Down, Autisme, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan ketidakupayaan pelbagai.

Jangan berlengah memohon, anak boleh dapat elaun RM150 sebulan

Jadi, ibu bapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan pendidikan khas tidak lagi perlu khuatir dengan masa depan anak masing-masing.

Lagi pula, pendidikan khas yang ditawarkan oleh kerajaan adalah percuma dan berkualiti tinggi serta menepati standard antarabangsa.

Jika anda memilih untuk menghantar anak ke sekolah berkeperluan khas persendirian, kos bulanannya mungkin boleh mencecah sehingga empat angka.

Selain itu, murid yang belajar di PPKI dan PPI juga akan diberikan Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK) sebanyak RM150 sebulan.

Elaun ini diberikan kepada MBPK yang bersekolah pada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mohonlah segera penempatan anak-anak anda di PPKI melalui Sistem Bersepadu Modul Pengurusan Awam atau ringkasnya MOiES KPM (idme.moe.gov.my).

Penafian: Maklumat yang dipaparkan adalah dari penulis sendiri. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai PPKI dan program pendidikan lain, sila layari laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.