Siakap Keli
Stiker mygap
Gambar: Siakap Keli

Confirm Selamat Dan Berkualiti, Nak Beli Buah Dan Sayur, “Check” Dulu Ada Logo Ni

Confirm Selamat Dan Berkualiti, Nak Beli Buah Dan Sayur, “Check” Dulu Ada Logo Ni

Setiap bulan tentunya kita perlu keluar ke pasar raya terdekat untuk “restock” barangan keperluan rumah tidak kiralah sama ada barangan basah mahupun barangan kering.

Namun, pernah tak korang kalau pergi ke mana-mana pasar raya perasan atau ternampak satu stiker ni yang tertera “myGAP” khususnya pada bahagian buah-buahan dan sayur-sayuran. 

Tentu pelik, ada sesuatu ke dengan stiker ni? Sesetengah barangan tiada pun stiker ni? Jom min nak terangkan mengenai myGAP ni.

Apa itu myGAP?

Malaysia Good Agricultural Practices (myGAP) atau Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia adalah skim pensijilan yang komprehensif untuk subsektor tanaman, akuakultur dan ternakan. myGAP Tanaman dirangka dan dilaksanakan sejak tahun 2002 oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

Pensijilan ini untuk mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik bagi mengeluarkan makanan yang selamat dan berkualiti, menjaga keselamatan alam sekitar, menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja.

Buah & sayur selamat dari racun berbahaya

Menerusi pensijilan myGAP ini dapat memastikan pengurusan ladang yang lebih cekap, dengan hasil ladang yang dikeluarkan juga dijamin selamat dan berkualiti. Jadi korang tak perlu risau buah yang nak dibeli terdedah kepada racun perosak.

Bukan itu sahaja, pensijilan ini berjaya menjadikan produktiviti dan pengeluaran hasil semakin meningkat. Secara tidak langsung ia meningkatkan peluang untuk menembusi pasaran eksport. 

Gambar: Siakap Keli

Selain itu, petani juga boleh menggunakan logo myGAP dan nombor pensijilan myGAP bagi tujuan mempromosikan hasil ladang dan meningkatkan keyakinan para pengguna untuk membeli produk mereka.

Pengenalan myGAP juga menyumbang kesan positif terhadap kelestarian alam sekitar, keselamatan dan kebajikan pekerja terjaga, penjimatan dengan menggunakan sumber dari dalam ladang sebagai bahan pembajaan, penggunaan racun makhluk perosak yang kurang dan menjimatkan kos.

BACA: Enam Bulan Berlatih Buang Pelat Kedah, Kini Bergelar Host MPL Malaysia

Kualiti buah dan sayuran bermula dari ladang

Dalam myGAP, terdapat tujuh elemen penting yang ditekankan dalam amalan ladang yang baik iaitu Rekod Penyimpanan, Jenis Tanaman, Racun Serangga, Kesihatan Pekerja, Latihan Penuaian, Pengairan dan Pembajaan Tanah

Kesemua elemen ini termaktub di dalam piawaian Malaysian Standard Crop Commodity-Good Agricultural. Semua pemilik ladang perlu patuhi kesemua syarat ini untuk melayakkan mereka mendapat pengiktirafan myGAP.

Beli buah ada logo
Gambar Hiasan: Kredit Bernama

Rekod Penyimpanan

Aktiviti penyimpanan dan pengeluaran tanaman haruslah direkod dari maklumat sumber tanaman sehingga ke pasaran. Pembungkusan produk haruslah mengandungi maklumat jenis tanaman, nama dan alamat sumber tanaman. Jadi, pengguna boleh mengenalpasti lokasi asal sesuatu produk tanpa ragu.

Racun Serangga

Kalau korang nak tahu, bukan semua racun serangga selamat untuk pengguna. Ada racun serangga yang boleh menyebabkan masalah kesihatan. Oleh itu, Jabatan Pertanian melalui myGAP telah mewajibkan para petani mereka untuk menggunakan racun perosak yang berdaftar di bawah Jawatankuasa Racun Serangga Malaysia sahaja.

Penyemburan racun serangga pula haruslah mengikut ketetapan piawaian yang mana buah yang disembur hanya boleh dijual jika keadaan buah itu mencapai jangka masa yang selamat untuk dimakan. 

Kesihatan Pekerja

Pernah tak korang dengar berita pekerja ladang yang dipaksa bekerja walaupun dalam keadaan tidak sihat? Situasi ini tidak berlaku bagi pekerja ladang yang diiktiraf myGAP.

Hal ini kerana kesihatan pekerja merupakan perkara yang penting dan amat dititikberatkan di sini di mana mereka perlu dilatih dalam keadaan kesihatan yang baik.

BACA JUGA: 26 Disember, Mengenang Kembali Tragedi Tsunami Aceh 2004

Gambar Hiasan: Kredit Bernama

Latihan Penuaian

Penuaian bukan sekadar memetik buah sesuka hati, tapi ia memerlukan teknik yang betul supaya buah atau sayuran tidak rosak dan tercemar.

Ladang di bawah pemantauan myGAP mengamalkan sistem penuaian yang baik seperti penggunaan bekas untuk menuai atau memetik sayur bagi memastikan tuaian tidak terkena tanah ketika dipetik. 

Pengairan

Air adalah perkara yang paling utama untuk tanaman dan juga pembersihan alatan penanaman. Oleh itu, air mestilah bersih dan terjaga. 

Pembajaan Tanah & Jenis Tanaman

Peladang harus memastikan keadaan tanah, jenis produk pengeluaran dan kegunaan tanah sebelum ini haruslah direkod bagi memastikan tanah yang diguna pakai dalam keadaan yang sempurna. 

Apabila tanah mendapat nutrisi yang sempurna, barulah tumbuhan hidup subur dan berkualiti. Selain itu, petani juga perlu pastikan tumbuhan ditanam mengikut kesesuaian tanah dan mengikut piawaian yang ditetapkan.

Dengan standard yang ketat ni, bukan calang-calang produk boleh mendapat pengiktirafan myGAP. Ibaratnya, pegawai myGAP sendiri pilihkan buah dan sayuran berkualiti untuk korang beli.

Lepas tahu pasal myGAP ni, senang la kerja min. Cari je barang-barang yang ada logo myGAP. Sudah tentunya berkualiti dan dijamin selamat daripada racun berbahaya.

BACA JUGA: Ini Cara Buat Sendiri Belon Buih Gergasi Guna Tiga Bahan

Jadi macam mana nak tahu setiap produk itu ada logo myGAP?

Caranya mudah sahaja, orang ramai dapat mengetahui barangan tersebut dipersijilkan myGAP hanya dengan melihat pada pembungkusannya tertera logo myGAP.

Kebiasaannya logo myGAP boleh didapati di bahagian sayur-sayuran dan buah-buahan ditempatkan di pasar raya yang terpilih.

Senang je kan nak kenal pasti sama ada ia adalah barangan di bawah pensijilan myGAP ini. Nak tahu dengan lebih lanjut mengenai pensijilan ini boleh layari laman sesawang rasmi myGAP atau klik di sini.

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?