Siakap Keli
dua tong gas
Kredit: Facebook

Polis Tahan Penagih Mengamuk, Didakwa Pukul Ibu & Ugut Letupkan Tong Gas

Polis Tahan Penagih Mengamuk, Didakwa Pukul Ibu & Ugut Letupkan Tong Gas

Polis berjaya menahan seorang lelaki selepas mengamuk dan didakwa memukul ibunya serta mengugut mahu meletupkan tong gas dirumahnya.

Menurut Sinar Harian, kejadian itu berlaku semalam di sebuah rumah flat di Pulau Pinang.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake, polis mengambil masa lebih 3 jam untuk memujuk suspek yang berusia 45 tahun sebelum menahannya.

Selain memukul ibunya yang berusia 70-an dengan menggunakan rotan, suspek juga mengugut mahu meletupkan tiga tong gas di kediaman tersebut.

Ketika kejadian, suspek hanya bersama ibunya manakala adik perempuannya yang berumur 30-an keluar bekerja.

“Suspek berada dibawah pengaruh dadah ketika kejadian berkenaan. Kejadian disedari jirannya lalu menghubungi polis pada jam 9.30 malam.

“Polis kemudiannya tiba di lokasi bagi menyelamatkan warga emas tersebut. Pihak bomba turut dipanggil berikutan suspek telah mengugut untuk meletupkan tong gas di rumahnya.

“Suspek turut bertindak memegang ibunya secara kasar sambil mengugut untuk mencederakannya menggunakan pisau yang terselit di pinggang,” jelasnya.

Tambah Swee Sake, suspek masih enggan melepaskan ibunya walaupun telah dipujuk selama lebih dua jam.

Lelaki berkenaan turut mengugut untuk terjun dari rumahnya yang berketinggian 11 tingkat.

“Selepas menerima maklumat berkenaan, saya telah ke lokasi kejadian untuk cuba memujuk suspek,” kata Swee Sake

Lembut hati selepas polis memujuknya dalam bahasa Hokkein

Beliau menjelaskan bahawa proses memujuk suspek yang dijalankan pihak berkuasa berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Selepas lebih sejam saya memujuknya, suspek akhirnya mempercayai saya. Saya terpaksa mengambil risiko untuk masuk ke dalam rumah suspek kerana bimbang lelaki tersebut terus bertindak agresif.

“Tambahan pula, suspek mempunyai pemetik api dan kita bimbang dia akan meletupkan tong gas yang akan membahayakan keselamatan jiran,” ujarnya.

Pada awalnya, suspek enggan berkomunikasi dengan Swee Sake. Namun begitu, suspek dilaporkan ‘lembut hati’ dan memberikan kerjasama selepas Swee Sake bertutur menggunakan bahasa Hokkien.

“Usaha akhirnya berjaya apabila suspek melepaskan ibunya untuk keluar dari rumah. Selepas berjaya memasuki rumah itu, kita terbau gas berikutan suspek telah membuka pili gas.

“Kita berjaya menahan lelaki itu tanpa sebarang kecederaan manakala ibunya yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

Ujian air kencing telah dijalankan ke atas suspek dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif syabu.

“Suspek tiada pekerjaan tetap dan kadang kala bertindak agresif kerana pengaruh dadah. Suspek juga mempunyai tiga rekod lampau melibatkan dadah serta jenayah.

“Suspek direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

BACA: Mengundi Hari Ini, Begini Rupanya Pemilu & Pilpres Indonesia Berjalan

Sumber: Gegar via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma