Siakap Keli
malaysia sukan komanwel 1998
Gambar Via Mukhriz Mahathir

Bangga, Ini Sejarah Malaysia Sebagai Tuan Rumah Sukan Komanwel 1998

Bangga, Ini Sejarah Malaysia Sebagai Tuan Rumah Sukan Komanwel 1998

Seperti yang diketahui, Malaysia telah menerima tawaran dari Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel bagi edisi 2026.

Tawaran itu dibuat selepas Victoria, Australia, menarik diri pada tahun lepas. Tambahan lagi, ia merangkumi pelaburan kewangan yang besar iaitu menjangkau 100 juta pound (kira-kira RM601 juta) bagi penganjuran itu.

Susulan itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mula melakukan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai tawaran tersebut. Dalam masa yang sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pula berkata pihaknya menyerahkan keputusan tawaran itu kepada jemaah menteri.

Jadi nantikan sama ada kita sekali lagi akan menjadi tuan rumah untuk acara sukan berprestij itu atau tidak.

BACA: CGF Tawar Malaysia Jadi Tuan Rumah Sukan Komanwel 2026, Bersama Dana RM602 Juta

Mungkin ada yang belum tahu, Malaysia adalah negara Asia pertama yang pernah menjadi tuan rumah dalam Sukan Komanwel 1998 dan ia telah diadakan di Kuala Lumpur.

Sebelum kita menelusuri sejarahnya, mari selidiki terlebih dahulu mengenai Sukan Komanwel itu sendiri.

Untuk pengetahuan, Sukan Komanwel mula diperkenalkan sejak tahun 1930 dan ia merupakan antara temasya paling penting selepas Sukan Olimpik dan Sukan Asia yang diadakan empat tahun sekali.

Dianjurkan oleh CGF, ia disertai kesemua negara-negara bekas jajahan British yang terdiri dari lima buah benua. Malaysia mula mengambil bahagian sejak tahun 1950 melalui nama Malaya. Pada ketika itu, kejohanan tersebut dikenali sebagai British Empire Games.

Sebanyak dua pingat, satu perak dan satu gangsa telah dimenangi oleh negara kita yang kesemuanya melalui sukan Angkat Berat.

Sejarah Sukan Komanwel 1998

Diadakan dari 11 hingga 21 September 1998, Sukan Komanwel 1998 atau lebih dikenali sebagai SUKOM 98 adalah salah satu catatan penting dalam sejarah Malaysia. Lebih-lebih lagi, penganjuran edisi 1998 itu adalah yang terakhir dalam kurun ke-20.

Gambar Via Mukhriz Mahathir

Menariknya, edisi 1998 ini bukan sahaja telah dianjurkan oleh negara dengan cemerlang tetapi kejayaan para atlet negara juga sangat membanggakan. Mereka mencipta sejarah apabila menduduki tempat keempat keseluruhan di antara 70 buah negara anggota Komanwel.

Maskot rasmi bagi acara sukan tersebut adalah orang utan dan ia digambarkan sebagai haiwan kesayangan ramai.

Upacara pembukaan dimulakan dengan ketibaan para tetamu kehormat dan disusuli dengan perarakan masuk 70 kontinjen negara yang bertanding. Bermula dengan Kanada selaku tuan rumah edisi terdahulu dan ia diakhiri oleh kontinjen Malaysia.

Gambar Via Mukhriz Mahathir

Antara tetamu kehormat yang hadir pada upacara itu adalah Naib Penaung Persekutuan Sukan Komanwel, Putera Edward dan YDP Agong ke-10, Tuanku Jaafar ibni Tuanku Abdul Rahman bersama isteri. Selain itu, turut hadir adalah Sultan Brunei Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Datuk Seri Mahathir Mohamad dan Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

YDP Agong telah memalu gong sebanyak tiga kali sebagai tanda temasya itu dibuka secara rasmi. Ia berbeza dengan tradisi pembukaan sebelum itu yang kebiasaannya akan dirasmikan oleh Ketua Komanwel.

Gambar: Bernama

Kemeriahan diteruskan dengan letusan bunga api dan ledakan meriam sebanyak 16 kali sebagai simbolik bermulanya edisi ke-16 itu.

Di akhir temasya, Australia telah menjadi juara keseluruhan pada edisi tersebut. Manakala, Malaysia pula telah berjaya mendapat 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa dengan jumlah keseluruhannya 36 pingat. Ia menyamai keseluruhan pingat yang diperolehi sejak dari tahun 1950 hingga 1994.

Sumber: Majlis Sukan Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, Astro Awani

Sofea

There's always another side to every story