Siakap Keli
abu ubaid al-thaqafi
Kredit: AFP

Syahid Di Jalan Allah, Ini Kisah Keberanian & Kehebatan Abu Ubaid al-Thaqafi

Syahid Di Jalan Allah, Ini Kisah Keberanian & Kehebatan Abu Ubaid al-Thaqafi

Ada di antara kita tidak berani untuk membuat keputusan yang memiliki banyak risiko kerana cenderung untuk memilih pilihan yang lebih selamat.

Lagi-lagi apabila keputusan ini melibatkan perkara yang mustahak seperti pengurusan syarikat, strategi jualan, apatah lagi melibatkan nyawa seperti strategi peperangan.

Namun, sifat berani untuk menanggung risiko dapat mengubah nasib dan memberikan hasil yang lebih baik, jika dibandingkan dengan hanya duduk di zon selamat.

Ini bersesuaian dengan seorang pahlawan berani sewaktu era pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab iaitu Abu Ubaid al-Thaqafi.

Bagi menelusuri kisahnya, ikuti perkongsian Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri di bawah ini.

Berikut adalah perkongsiannya:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.”

Surah al-Ahzab (23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50)

Berkenaan persoalan di atas, selepas kematian Abu Bakar, pada pagi Selasa dan masyarakat telah berbai’ah kepada Umar, maka perkara pertama yang dilakukan oleh Umar sebagai memulakan dalam pemerintahannya dengan menyeru manusia supaya berjihad di jalan Allah ke arah bumi Iraq.

Orang pertama yang menyahut seruan Umar ialah Abu Ubaid ibn Mas’ud al-Thaqafi. Justeru Umar melantiknya sebagai pemimpin kerana dia orang pertama dan keberaniannya memerangi orang Parsi.

Umar juga memerintahkan al-Muthanna kembali ke Iraq bagi mengukuhkan tentera Islam di sana. Sesampainya al-Muthanna di Hirah, suasana ketika itu bergolak yang asalnya dipimpin oleh Islam.

Ini kerana kelicikan Rustum dalam memporak-perandakannya, di mana beliau mengupah beberapa orang untuk mempengaruhi masyarakat setempat supaya membatalkan perjanjian dan bangkit menentang umat Islam.

Hasilnya penduduk Rasatiq berhampiran Sungai Furat sehingga ke bawah telah bangkit menentang Islam.

Al-Muthanna dapat menghidu taktik Rustum. Maka dibuat persediaan dengan tentera daripada Hirah dan tentera di selatan Iraq supaya tidak berlaku serangan dari belakangnya.

Maka, berkubulah Muthanna di sana menantikan pasukan Abi Ubaid al-Thaqafi dari Madinah. Apabila sampai, mereka bergabung.

Kemudian tentera Islam bertemu dengan tentera Parsi dalam peperangan al-Namariq dan tentera Islam menang. Kemudian, banyaklah berlaku kekalahan demi kekalahan tentera Parsi termasuk di Kaskar.

Ini menjadikan Rustum menyediakan pasukan yang lebih kuat untuk menyekat kemaraan tentera Islam dengan menggunakan senjata gajah bagi menggerunkan tentera Islam dan unta mereka. Ia diketuai oleh Bahman Jazawaih. Tentera Parsi berhenti di Qis al-Natif yang hanya Sungai Furat menjadi pemisah.

Mereka meminta dari Abu Ubaid al-Thaqafi panglima tentera Islam untuk menyeberangi Sungai atau mereka yang akan menyeberang. Abu Ubaid telah berbincang dengan panglima, dan kebanyakan bersetuju supaya jangan menyeberang sungai agar tentera Islam tidak terperangkap antara sungai dan musuh.

Akan tetapi Abu Ubaid berpendapat sebaliknya dengan menyeberangi sungai kerana menurutnya, tentera Parsi tidak lebih berani untuk mati berbanding orang Islam.

Justeru, Abu Ubaid meminta sebahagian petani dan peladang di kawasan tersebut untuk membina jambatan di sungai furat untuk melintas di Qis al-Natif. Akhirnya berlakulah peperangan yang dahsyat di tempat yang amat sempit, sedangkan orang Islam tiada pengalaman berperang dengan gajah.

Apabila Abu Ubaid melibaskan pedangnya ke belalai gajah, dia juga menemui syahid.

Tentera Islam kucar kacir. Hendak kembali ke belakang yang ada adalah sungai Furat. Maka dipotong jambatan supaya tentera Islam tidak kalah dan lari, tentera Islam ramai yang mati lemas di sungai dan al-Muthanna dan sebahagian tentera Islam cuba membaiki jambatan. Akhirnya mereka dapat merentasi Sungai Furat dan dapat kembali ke kem tentera Islam.

Peristiwa ini memberi kesan mendalam dari segi jiwa dan harta yang dikenali sebagai Ma’rakah al-Jisr (Peperangan Jambatan). Tetapi akhirnya tentera Islam dapat menang dan bertembung sekali lagi di Ma’rakah al-Buwaib yang mereka juga telah membentuk tiga saf di mana setiap saf ada gajah.

Akhirnya tentera Islam dapat menang dan membunuh panglima mereka. Mereka terpaksa lari menuju ke jambatan yang mereka binanya. Tetapi al-Muthanna cepat memintas mereka dan memotong jambatan. Akhirnya tentera Islam menang dengan bergaya serta merampas banyak harta ghanimah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

BACA: Rindu Suasano Kelate? Secret Recipe Tawar Menu Istimewa Ramadan Untuk Ubati Rindu Anda

Sumber: Maktabah al-Bakri

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma