Siakap Keli
Imam Syafie Khatam Al-Quran
Kredit: AFP

Imam Syafie Khatam Al-Quran 60 Kali Di Bulan Ramadan

Imam Syafie Khatam Al-Quran 60 Kali Di Bulan Ramadan

Setiap kali tibanya bulan Ramadan, yang juga dikenali sebagai bulan beribadah, umat Islam akan berkejar-kejaran meningkatkan amalan dan ibadah masing-masing sepanjang 30 hari ini.

Selain ibadah puasa yang khusus dan wajib dalam bulan ini, kita juga digalakkan memperbanyak amalan sunat lain seperti bersedekah dan membaca Al-Quran.

Pada bulan ini, biasanya di program bertadarus Al-Quran banyak diadakan di masjid-masjid. Mengikut pengalaman, peserta yang menyertai program tadarus ini akan menghabiskan bacaan sebanyak satu juzuk sehari. Apabila genap sebulan berpuasa, maka berkhatamlah mereka 30 juzuk Al-Quran.

Namun begitu, kali ini SK hendak berkongsi kisah seorang imam mazhab dan amalan membaca Al-Quran beliau yang sangat luar biasa pada bulan Ramadan.

Tokoh tersebut adalah Imam al-Syafie yang menjadi pendiri kepada Mazhab Syafi’e.

Latar belakang ulama Islam yang disanjung tinggi

Imam al-Syafi’e atau nama penuhnya Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafie bin Ubaid bin Abdu Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abdi Manaf lahir pada tahun 150H di sebuah tempat bernama Ghazzah di Kota ‘Asqalan.

Ketokohan dan keilmuan Imam al-Syafi’e merupakan satu hal yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapapun.

Beliau telah diiktiraf sebagai mujaddid (pembaharu) agama Islam bagi kurun yang kedua, antara lain kerana telah menghimpunkan antara dua manhaj, iaitu manhaj Ahlu Ra’yi yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah dan manhaj Ahlu al-Hadith yang dilazimi oleh Imam Malik bin Anas.

Imam al-Syafi’e meninggal dunia pada tahun 204H di Kaherah, semoga Allah SWT merahmati roh beliau.

Imam al-Syafi’e khatam al-Quran 60 kali di bulan Ramadan

Untuk pengetahuan anda, Imam al-Syafi’e mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali di dalam bulan Ramadan sepertimana yang diceritakan oleh murid beliau, al-Rabi Ibn Sulaiman sepertimana dinukilkan oleh al-Zahabi dalam kitabnya, Siyar A’lam al-Nubala’.

Menurut perkongsian Maktabah Al-Bakri, Imam al-Syafi’e mengkhatam Al-Quran sebanyak dua kali sehari sepanjang Ramadan.

Selain Imam al-Syafi’e, ulama-ulama besar umat Islam yang lain turut luar biasa dalam amalan mengkhatam Al-Quran pada bulan yang mulia ini.

Ulama-ulama besar lain turut luar biasa dalam amalan khatam Al-Quran mereka

Antaranya, Al-Imam al-Bukhari yang dikatakan khatam al-Quran pada bulan Ramadhan setiap hari sekali. Selain itu, Imam Ahmad juga dicatatkan khatam al-Quran setiap 3 hari sekali. Apabila masuk kepada 10 akhir Ramadhan, beliau akan khatam al-Quran sehari sekali.

Manakala Ibrahim al-Nakha’ie meriwayatkan, seorang tabi’in bernama al-Aswad Ibn Yazid mengkhatamkan al-Quran pada setiap dua malam pada bulan Ramadan.

Seorang lagi ulama besar, Qatadah dikatakan mengkhatamkan al-Quran dalam masa tujuh hari, apabila tiba bulan Ramadan beliau mengkhatamkan dalam masa tiga hari dan apabila tiba sepuluh terakhir Ramadan, beliau mengkhatamkannya pada setiap malam.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Al Bakri

Athirah

When nothing goes right, go left.