Siakap Keli
kain martabak kkm

Tular Cebisan Kain Dalam Martabak, KKM Ambil Tindakan Terhadap Peniaga Bazar

Tular Cebisan Kain Dalam Martabak, KKM Ambil Tindakan Terhadap Peniaga Bazar

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan terhadap peniaga bazar ekoran aduan penemuan kain buruk di dalam hidangan martabak yang dijual di bazar Ramadan baru-baru ini.

KKM telah mengeluarkan satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman X (@KKMPutrajaya) pada hari ini.

Difahamkan, pengadu telah membeli martabak yang mengandungi kain di sebuah bazar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hantaran pengadu berkenaan pencemaran makanan itu telah tular di media sosial dan mengundang reaksi daripada pelbagai pihak.

Sehubungan itu, KKM telah menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu.

“KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati kecuaian semasa pengendalian makanan telah menyebabkan kehadiran cebisan kain pengelap dalam martabak tersebut,” kata KKM.

Selain itu, KKM turut mengenalpasti beberapa kesalahan lain yang dilakukan oleh pemilik gerai berkenaan.

Antaranya, tidak membuat pengasingan yang jelas untuk bahan mentah dan makanan yang telah dimasak, menggunakan kain pengelap yang tidak bersih dan pengendali makanan tidak memakai pakaian pelindung diri dengan sempurna.

“Justeru, tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap gerai yang menjual makanan tersebut dengan mengeluarkan satu (1) notis kompaun di bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009,” kata KKM.

KKM turut mengadakan pemeriksaan terhadap bazar Ramadan secara berkala

Dalam pada itu, KKM turut memaklumkan pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di semua gerai bazar Ramadan seluruh negara.

Berdasarkan rekod KKM, sebanyak 10,570 buah premis bazar Ramadan telah diperiksa setakat ini.

“Peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan- peraturan di bawahnya boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM 100,000.00 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Justeru, KKM memberi peringatan kepada semua peniaga makanan, khususnya di bazar Ramadan untuk menjaga kebersihan dan keselamatan makanan di premis masing-masing.

Hal ini adalah untuk mengelakkan sebarang pencemaran silang dan kehadiran bendasing dalam makanan yang dijual.

Bukan itu sahaja, pembiakan bakteria berlaku lebih pantas sewaktu cuaca panas yang sedang melanda negara.

Perkara ini menyebabkan makanan yang disediakan akan lebih cepat rosak berbanding dengan kebiasaannya.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengamalkan amalan ‘Lihat Hidu Rasa’ semasa memilih makanan untuk mengelakkan keracunan makanan.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna,

“Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM ingin menegaskan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal,” tulis KKM dalam kenyataan yang disiarkan

Jika terdapat sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, anda boleh menghubungi mana- mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Anda juga boleh melayari atau melayari laman sesawang SISPA serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM). 

BACA: Setiap Bahan Ada Maksud Tersendiri, Ini Falsafah Sebalik Hidangan Rendang

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia via X

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma