Siakap Keli
dubai hujan dua tahun
Kredit: ABC News

Dubai Banjir, Jumlah Hujan Untuk Dua Tahun Turun Dalam Tempoh 24 Jam

Dubai Banjir, Jumlah Hujan Untuk Dua Tahun Turun Dalam Tempoh 24 Jam

Dubai dilapor telah dilanda banjir teruk selepas rekod menunjukkan hujan yang menyamai jumlah untuk dua tahun turun dalam tempoh 24 jam, lapor ABC News.

Pejabat Meteorologi Dubai berkata, curahan hujan lebih setengah kaki atau 6.26 inci  direkodkan di bandar Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu antara pukul 10 malam pada Isnin sehingga pukul 10 malam pada Selasa (waktu tempatan).

Berdasarkan data Pertubuhan Meteorologi Dunia, Dubai menerima purata hujan 3.12 inci setahun. Oleh itu, jumlah hujan yang turun di bandar tersebut dalam tempoh 24 jam berkenaan menyamai rekod hujan dua tahun.

Bandar tersebut biasanya menerima hujan tahunan antara November hingga Mac, mewakili kira-kira 92 peratus hujan yang diterima sepanjang tahun.

Manakala rekod sebelum ini menunjukkan, secara purata Dubai hanya menerima hujan sebanyak 0.13 inci sahaja pada bulan April.

Jumlah hujan dua tahun turun dalam tempoh 24 jam di Dubai

Menurut ABC News lagi, banjir yang melanda turut menyebabkan beberapa operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai tergendala.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, beberapa pesawat yang dijadual mendarat di lapangan terbang tersebut pada petang Selasa terpaksa dialihkan.

Bagaimanapun, jadual pesawat yang berlepas dari lapangan terbang berkenaan tidak terjejas.

Sementara itu, semua entiti kerajaan dan sekolah persendirian yang beroperasi di Dubai juga diarah untuk berkerja serta beroperasi daripada rumah.

Perubahan iklim dipercayai menjadi salah satu punca kejadian hujan ekstrem dan banjir kilat

Menurut Penilaian Iklim Kebangsaan Kelima Kerajaan AS, perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia menyebabkan fenomena hujan lebat yang ekstrem berlaku lebih kerap dan teruk.

Apabila kejadian fenomena hujan lebat yang ekstrem semakin meningkat, ia juga menyebabkan banjir kilat semakin kerap berlaku dengan skalanya yang terus meningkat.

Impaknya juga lebih besar apabila jumlah hujan yang diterima melebihi had keupayaan infrastruktur yang dibina untuk menangani situasi tersebut.

Selain fenomena hujan, perubahan iklim juga didapati boleh meningkatkan keamatan, kekerapan serta kepelbagaian kejadian cuaca ekstrem yang lain.

BACA: Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Banjir, 45 Penerbangan Dibatalkan

Sumber: ABC News

Athirah

When nothing goes right, go left.