Siakap Keli
bas persiaran terbalik Terowong Menora
Sumber: Sinar Harian

Bas Persiaran Terbalik: Kereta Hilang Kawalan Didakwa Punca Kejadian

Bas Persiaran Terbalik: Kereta Hilang Kawalan Didakwa Punca Kejadian

Sebuah kereta yang hilang kawalan didakwa menjadi punca bas persiaran membawa 40 penumpang dan pemandu terbalik dalam kejadian di Kilometer 264.5 Lebuh Raya Utara – Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora, pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika seorang lelaki berusia 44 tahun memandu keretanya dari Kulim, Kedah menuju ke Ipoh.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan telah memasuki laluan bas yang berada di lorong kiri lalu melanggar sisi kanan belakang bas.

“Kereta tersebut kemudian berpusing 360 darjah dan sekali lagi melanggar bahagian hadapan kanan bas mengakibatkan bas tersebut terbabas memasuki longkang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, akibat kemalangan terbabit, 39 penumpang yang berusia antara sembilan hingga 80 tahun telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Klinik Kesihatan Greentown bagi rawatan lanjut.

“21 mangsa yang mengalami kecederaan parah dan ringan telah dibawa mendapatkan rawatan manakala 20 orang lagi termasuk kedua-dua pemandu bas dan kereta tidak mengalami kecederaan.

“Kemalangan yang berlaku sekitar jam 7.20 pagi itu mengakibatkan laluan di tempat kejadian ditutup namun laluan kontra dibuka bagi mengatasi kesesakan lalu lintas,” katanya.

Tambah beliau, kes tersebut kini sedang disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tindakan memandu yang tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Dalam pada itu, orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Jong Pit Chio di talian 016-8849163 atau tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

BACA: Bas Persiaran Terbalik, 41 Penumpang Terselamat

Sumber: Sinar Harian

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.