Siakap Keli
art diuji di putrajaya naik percuma
Kredit Gambar: Perbadanan Putrajaya

ART Diuji Lagi Di Putrajaya, Boleh Naik Percuma Hingga 31 Julai

ART Diuji Lagi Di Putrajaya, Boleh Naik Percuma Hingga 31 Julai

Orang ramai berpeluang untuk merasai pengalaman menaiki Transit Aliran Automatik (ART) yang akan kembali diuji di Putrajaya.

Menurut Perbadanan Putrajaya (PPj), tempoh percubaan adalah selama tiga bulan iaitu bermula pada 13 Mei lalu hingga 31 Julai depan.

Dalam satu kenyataan di Facebook beberapa hari lalu, pihaknya berkata projek rintis terbabit adalah usaha PPj bagi mengetengahkan ART sebagai salah satu mod pengangkutan yang boleh melengkapkan rangkaian sistem sedia ada.

“Dua laluan diperkenalkan sempena tempoh percubaan ini iaitu laluan 1A yang akan beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat.

“Bermula dari MRT Putrajaya Sentral menghala ke Lebuh Wawasan Persiaran Perdana, Lingkaran Gemilang dan kembali semula ke MRT Putrajaya Sentral,” katanya.

BACA: Trackless Tram Diuji Di Putrajaya, Naik Percuma 1-4 Februari Ini

Laluan kedua pula iaitu laluan 2B hanya beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. Ia akan turut bermula dari MRT Putrajaya Sentral ke Persiaran Perdana, kemudian menghala ke Lebuh Bestari, Persiaran Timur dan IOI Putrajaya sebelum kembali semula ke MRT Putrajaya Sentral.

“Orang awam yang ingin mencuba sendiri pengalaman menaiki ART hanya perlu menggunakan aplikasi melalui kod QR yang disediakan di stesen mengambil penumpang.

“Sebanyak tiga trip disediakan setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang,” katanya.

Gambar: Perbadanan Putrajaya

Imbas kembali, percubaan ART ini telah dilakukan pada 1 hingga 4 Februari lalu yang juga menyaksikan orang ramai boleh menaikinya secara percuma.

Bagi yang belum tahu, pengangkutan awam ini yang juga dikenali sebagai trackless tram sudah lama wujud di beberapa negara maju.

Pada 2017, Syarikat Kereta Api China (CRRC) telah memperkenalkan tram pandu sendiri yang dikenali sebagai ART.

ART mempunyai karakter pengangkutan seperti kereta api ringan, namun dapat dibina dengan kos yang jauh lebih murah.

Sistem ini tidak memerlukan trek khas dibina dan bergerak di atas jalan biasa menggunakan sistem tayar getah.

BACA JUGA: ART Bakal Diuji Di Kuching Isthmus Mulai September Ini

Sumber: Perbadanan Putrajaya

Sofea

There's always another side to every story