Siakap Keli
lelaki lari terjun longkang langgar beberapa kenderaan
Sumber: Sinar Harian

Takut Keselamatan Terancam, Lelaki Lari Terjun Longkang Lepas Langgar Beberapa Kenderaan

Takut Keselamatan Terancam, Lelaki Lari Terjun Longkang Lepas Langgar Beberapa Kenderaan

Seorang lelaki bertindak terjun ke dalam longkang untuk menyelamatkan diri selepas dikejar oleh sekumpulan individu susulan kejadian kemalangan yang melibatkan kereta yang dipandunya dengan beberapa kenderaan lain pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, setakat Sabtu, 10 laporan kes kemalangan jalan raya yang berkaitan dengan kejadian terbabit telah diterima untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut Hoong Fong, insiden bermula kira-kira jam 1 petang ketika kereta yang dipandu oleh lelaki berusia 24 tahun dari arah Shah Alam menuju ke Jalan Kebun bergesel dengan sebuah motosikal hingga tercetusnya pertengkaran mulut dan penunggang motosikal terbabit mengancam merosakkan kereta pemandu itu.

“Disebabkan ketakutan, pemandu kereta itu melarikan diri ke arah Jalan Raja Nong selepas dikejar penunggang motosikal terbabit.

“Sampai di Jalan Raja Nong, kereta terbabit telah bergesel dengan sebuah motosikal lain, namun pemandunya meneruskan perjalanan ke arah Jalan Sungai Jati sebelum dikejar oleh kedua-dua penunggang motosikal terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

BACA: Suspek Serangan Balai Polis Ulu Tiram Tiada Kaitan Kumpulan Pengganas – KPN

Bagaimanapun, Hoong Fong berkata, kereta pemandu itu kemudiannya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di persimpangan Jalan Sungai Jati sebelum bertindak mengundur dan melawan arus.

Tindakan ini mengakibatkan kereta pemandu itu terlibat dalam beberapa kemalangan lain sebelum akhirnya berhenti selepas merempuh sebuah lori yang diparkir di tepi jalan.

“Kerana takut, pemandu Proton Satria itu telah keluar dari keretanya dan berlari menyelamatkan diri kerana risau keselamatan terancam apabila dikejar oleh orang ramai.

“Pemandu terbabit bertindak terjun ke dalam longkang bagi menyelamatkan diri, namun beberapa orang awam telah membaling objek dan memukulnya dengan pelepah kelapa sebelum menyelamatkan diri di bawah jambatan,” ujarnya.

Tambah beliau, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang tiba di tempat kejadian kemudian membawa pemandu terbabit ke balai polis bagi siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengambil tindakan yang sewenang-wenangnya yang mungkin membahayakan keselamatan orang lain.

BACA JUGA: Demi Nafi Tuduhan Curang, Lelaki Tergamak Pijak Al-Quran

Sumber: Sinar Harian

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.