Busana Rizman Ruzaini Jadi Pilihan Lady Gaga, Diperaga Ketika Buat Persembahan
Pereka fesyen dan pengasas jenama Rizman Ruzaini, Rizman Nordin dan Ruzaini Wan Jamil, sekali lagi mendapat perhatian dunia apabila busana rekaan mereka menjadi pilihan penyanyi antarabangsa, Lady Gaga dalam satu persembahan di Las Vegas Residency.
Lady Gaga kelihatan tampil sopan dalam busana merah bertatahkan beribu batu Swarovski ketika mempersembahkan lagu ikoniknya, Americano.
Persembahan Lady Gaga ini dapat ditonton menerusi video yang dimuat naik oleh peminatnya di laman X.
“Bagi mencapai perkara yang hebat, kita bukan sahaja mesti bertindak, malah perlu juga bermimpi; bukan sahaja merancang, perlu juga percaya,” luah Rizman dan Ruzaini dalam satu hantaran Instagram. Gambar yang dimuat naik tersebut memaparkan keindahan busana rekaan mereka yang dipadankan dengan mikrofon bergemerlapan Lady Gaga.
BACA: “Mimpi Jadi Kenyataan,” Naomi Campbell Peraga Busana Rekaan Rizman Ruzaini
Rizman Ruzaini di Naomi: In Fashion, London
Imbas kembali, Rizman Ruzaini sebelum ini berada di pertunjukan fesyen Naomi Campbell, Naomi: In Fashion di London. Majlis tersebut dihadiri para model, pengarah kreatif, editor dan ramai lagi ikon penting dalam industri fesyen dunia.
Supermodel terkenal tersebut telah memperagakan busana yang direka khas oleh Rizman Ruzaini.
“Melihat busana kami dipamerkan bersama para pereka yang kami pandang tinggi ketika pengajian fesyen seperti Christian Dior, Chanel, Versace, Alexander McQueen, John Galliano dan Karl Lagerfield sememangnya satu impian yang menjadi kenyataan,” ucap mereka dalam satu hantaran di Instagram.
Busana yang terilham dari naga Tasik Chini, Seri Gumum ini membawa kisah lagenda tanah air ke peringkat antarabangsa.
Penyertaan Rizman Ruzaini dalam pertunjukan fesyen ini menempa sejarah sebagai pereka fesyen Malaysia yang pertama mempamerkan hasil rekaan di Muzium Victoria and Albert. Muzium ini merupakan sebuah muzium seni terbesar dan terkemuka di dunia.
Sumber: Instagram Rizman Ruzaini, Rizman Ruzaini Creations
BACA: Keindahan Fenomena Semula Jadi, Kenali Great Salt Lake
BACA: Tak Susah Nak Buat, Ini Resipi Otak Lembu Masak Kunyit Berempah