Pelakon Pirates Of The Caribbean, Tamayo Perry Maut Diserang Jerung
Pelakon filem Pirates of the Caribbean, Tamayo Perry, 49, dilaporkan maut selepas diserang jerung ketika meluncur air di Pantai Malaekahana, Hawaii pada Ahad, lapor AFP.
Memetik BBC, berita kematian mendiang disahkan oleh Perkhidmatan Kecemasan Honolulu dalam satu sidang akhbar.
Difahamkan, pihaknya telah dipanggil ke tempat kejadian sekitar jam 1.00 petang waktu tempatan. Bagaimanapun, Perry disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke pantai dengan menaiki jet ski.
Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai serangan itu tidak dinyatakan.
Perry yang juga seorang peluncur air Hawaii pernah berlakon dalam filem Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides sebagai salah seorang lanun.
Dalam kerjaya lakonannya, mendiang turut berlakon dalam siri Hawaii Five-O dan Lost, sebuah siri tentang mangsa nahas kapal terbang terhempas di pulau misteri. Perry juga pernah menjadi salah seorang pelakon filem Blue Crush yang mengisahkan tentang pertandingan meluncur air.
BACA: Pelakon Veteran, Kamal Bakar meninggal Dunia
BACA JUGA: GIP Dipilih Susulan Setuju Kekal Lantik Rakyat Malaysia Sebagai Pengerusi, CEO MAHB – PM Anwar
Selain beraksi di layar perak, masyarakat setempat turut mengenali mendiang sebagai penyelamat dan peluncur air profesional.
Pemangku Ketua Keselamatan Laut Honolulu, Kurt Lager menyifatkan mendiang sebagai seorang penyelamat yang disayangi oleh semua.
“Personaliti Tamayo memang menawan, dan sebanyak mana orang sayangi dia pun, kasih sayang dia pada orang melebihi daripada itu,” ujarnya.
Datuk Bandar Honolulu, Rick Blangiardi turut menyifatkan pemergian Perry merupakan suatu tragedi.
“Tamayo merupakan lagenda manusia air dan sangat dihormati. (Mendiang) membesar di sini dan memang ahli pasukan penyelamat laut kami yang hebat,” kata Rick.
Selain itu, pemergian Tamayo juga turut meninggalkan kesan yang besar kepada komuniti papan luncur air terutama di Hawaii. Ramai dalam kalangan mereka yang menitipkan ucapan takziah di media sosial.
BACA: Lebih 25,000 Kursus Tersedia, NTW 2024 Peluang Dapatkan Sijil Latihan Kemahiran Percuma
BACA: Harga Mencapai Hingga RM700, “Tote Bag” Percuma Dari Apple Store Dijual Semula