Wanita Pertama Terima Buah Pinggang Babi & Jantung Mekanikal Meninggal Dunia
Seorang wanita di Amerika Syarikat yang menjadi individu pertama menjalani pembedahan buah pinggang babi dan pam jantung mekanikal dilaporkan meninggal dunia pada 7 Julai lepas.
Menurut CBS News, wanita berusia 54 tahun meninggal dunia kira-kira tiga bulan selepas menjalani pembedahan tersebut.
Mendiang yang menderita masalah jantung dan buah pinggang kronik dilapor tidak dapat menjalani pembedahan pemindahan organ manusia.
Dia kemudian menjalani pembedahan pam jantung mekanikal, LVAD pada 4 April. Pada 12 April pula, mendiang melalui satu lagi pembedahan pemindahan buah pinggang babi dengan genetik yang sudah diubah suai.
Bagaimanapun, 47 hari selepas pembedahan kedua, doktor terpaksa mengeluarkan buah pinggang babi berkenaan kerana mengganggu aliran darah mendiang.
Menurut CBS News lagi, mendiang merupakan individu hiudp kedua yang menerima pemindahan buah pinggang babi dengan genetik yang diubah suai di negara itu.
Individu pertama yang menjalani pembedahan pemindahan berkenaan adalah seorang lelaki berusia 62 tahun. Lelaki berkenaan meninggal dunia pada Mei lepas.
Sumbangan Lisa Pisano pada dunia perubatan sangat besar
Pengarah Institut Pemindahan NYU Langone, Dr Robert Montgomery dalam pada itu berkata, mendiang telah memberi sumbangan yang besar kepada dunia perubatan, pembedahan dan xenotransplantasi.
“Legasi mendiang sebagai seorang perintis akan dikenang selama-lamanya,” katanya.
Dr Robert turut menyifatkan kesediaan mendiang sebelum ini untuk menjadi penerima percubaan buah pinggang babi dengan genetik yang diubah suai telah memberi harapan kepada semua pihak.
“Mendiang mendekatkan kita dengan harapan bahawa tiada manusia lain yang perlu mati semata-mata untuk mendermakan organ mereka supaya manusia lain boleh meneruskan hidup,” ujar beliau.
Ketika ini, dianggarkan kira-kira 104,000 pesakit di AS sedang menanti giliran menjadi penerima organ yang diderma. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 80 peratus menanti penderma organ buah pinggang.
Mengenai buah pinggang babi diterima Lisa
Buah pinggang babi yang diterima mendiang telah telah diubahsuai secara genetik untuk menyingkirkan gen yang bertanggungjawab menghasilkan gula, iaitu alpha-gel.
Kajian yang dibuat sebelum ini mendapati dengan menyingkirkan alpha-gel dapat menghalang tindakbalas yang menyebabkan penolakan serta-merta terhadap organ babi berkenaan.
BACA: Kenapa Ada Daun Bergoyang Sendiri Walau Macam Tiada Angin? Ini Jawapannya
BACA: Apa Perlu Buat Dengan Wang Kertas Yang Rosak? Jangan Buang, Ini Yang Anda Perlu Tahu
Sumber: CBS News