Gara-gara Berdebat Teka-teki ‘Telur Atau Ayam Dahulu’, Lelaki Maut Ditikam Rakan Sendiri
Seorang lelaki dilapor maut selepas ditikam oleh rakan sendiri, dalam kejadian yang berlaku pada Rabu di Kabupaten Muna, Sulawesi Tenggara.
Menurut portal Detik.com, motif pembunuhan terbabit berpunca daripada soalan teka-teki mengenai ‘ayam atau telur’, mana yang muncul terlebih dahulu.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polres Muna, La Ode Arsangka berkata suspek sudah pun berjaya diberkas oleh pihaknya.
Sebelum kejadian itu berlaku, suspek bersama mangsa dikatakan sedang melepak bersama sambil minum minuman keras di salah sebuah rumah penduduk di Desa Labasa.
Tak jawab teka-teki telur atau ayam, mana yang datang dulu, lelaki maut ditikam rakan sendiri
“Mangsa pada awalnya datang untuk membayar hutang ke rumah salah seorang saksi, kemudian diajak minum oleh suspek,” ujarnya.
Dari keterangan saksi di lokasi kejadian, insiden bermula apabila suspek bertanya dua teka-teki kepada mangsa.
Salah satunya adalah teka-teki mengena ayam atau telur, mana satu yang muncul lebih dulu.
“Suspek mengajukan teka-teki kepada mangsa dengan bertanya ‘apa yang lahir dulu, ayam atau telur’. Selepas itu, berlaku perdebatan hangat antara mereka berdua,” katanya lagi.
Suspek menikam mangsa berkali-kali dan menyerahkan diri ke balai polis
Semasa perdebatan sedang berjalan, mangsa dikatakan bertindak meninggalkan rumah berkenaan dan berlalu pergi daripada suspek.
Melihat tindakan mangsa, suspek terus pulang ke rumahnya dipercayai untuk mengambil pisau lalu mengejar mangsa dan menikamnya berkali-kali.
Selepas melakukan jenayah tersebut, suspek membawa pisau miliknya dan menyerah diri ke balai polis.
Menurut portal Detik.com lagi, mangsa telah dibawa ke hospital tempatan dan disahkan meninggal dunia.
“Suspek membawa pisau dan menyerahkan diri kepada Polis Tongkuno. Kami masih menyiasat perkara ini (ayam dan telur),” jelas Arsangka.
BACA: Lelaki Dipercayai Alami Depresi Bunuh Ayah Sendiri, Marah Tak Dibeli PS & Tolong Carikan Kerja
BACA: Chong Wei Harap Kontijen Negara Bawa Pulang Emas Pertama Olimpik Dari Bumi Paris
Sumber: Detik