Tak Sangka, Ini 6 Sukan Yang Pernah Ada Tapi Kini Tidak Wujud Lagi Dalam Sukan Olimpik
Siapa sahaja yang tidak menantikan Sukan Olimpik, iaitu temasya sukan teragung dan paling berprestij di dunia yang hanya diadakan setiap empat tahun sekali?
Apabila tiba musimnya, pasti ramai yang bersedia di hadapan kaca televisyen atau menghadap gajet masing-masing untuk menyaksikan aksi hebat daripada atlet-atlet handalan yang mewakili negara masing-masing.
Sebut sahaja tentang Sukan Olimpik, pasti kebanyakan masyarakat akan memikirkan sukan-sukan seperti berlari, badminton, berenang dan gimnastik.
Namun, tahukah anda bahawa terdapat banyak sukan lain yang pernah dipertandingkan dalam Sukan Olimpik, tetapi kini tidak wujud lagi?
Ada di antaranya mungkin dianggap ‘pelik’, tetapi ia pernah menjadi sebahagian daripada temasya ini. Sukan-sukan ini tidak bertahan lama dan mungkin telah dilupakan.
Hari ini, SK akan berkongsi beberapa sukan yang dahulunya dipertandingkan dalam Sukan Olimpik namun kini tidak lagi disenaraikan.
Acara Perlumbaan Kereta Kuda
Sama seperti dalam filem, Sukan Olimpik asal di Athens mempunyai acara perlumbaan kereta kuda.
Dalam acara ini, kereta kuda dengan dua ekor dan empat ekor kuda membuat 12 pusingan di sekitar trek stadium.
Acara Perlumbaan Belon Udara Panas (Hot Air Balloon)
Pada Sukan Olimpik 1900 yang diadakan semasa Pameran Besar di Paris, terdapat perlumbaan belon udara panas di pinggir bandar Vincennes.
Atlet dinilai berdasarkan jarak yang dilalui, masa di udara dan kemampuan untuk mendarat di koordinat yang betul.
Bagaimanapun, acara ini dikeluarkan dari Sukan Olimpik kerana terdapat larangan sukan bermotor.
Acara Lumba Renang Berhalangan
Kalau sebelum ini kita sering mendengar acara ‘lari berhalangan’, dulu Sukan Olimpik mempertandingkan acara luma renang berhalangan.
Acara ini hanya diadakan sekali pada Sukan Olimpik di Paris.
Perenang perlu melengkapkan renang 200 meter di Sungai Seine sambil memanjat halangan, merangkak dan berenang di bawah deretan bot.
Acara Perlumbaan Junam Jarak (Distance Plunging)
Hanya satu negara yang bertanding dalam acara aneh ini pada Sukan Olimpik 1904 di St. Louis.
Ia melibatkan menyelam ke dalam air dan kemudian bergerak sejauh mungkin di bawah air tanpa menggerakkan sebarang bahagian badan.
Pemenangnya adalah sesiapa yang meluncur paling jauh dalam 60 saat, atau apabila mereka timbul ke permukaan, mana-mana yang berlaku dahulu.
Acara Tarik Tali (Tug-of-War)
Tarik tali adalah sukan tetap dalam Sukan Olimpik awal dari 1900 hingga 1920. Bagi sukan ini, kebanyakan negara dahulunya menghantar lebih daripada satu pasukan.
Dalam acara terakhirnya di Antwerp pada 1920, pasukan lapan orang dari Britain yang kebanyakannya terdiri daripada anggota polis London membawa pulang emas.
Pertandingan Seni
Sukar untuk dipercayai tetapi dari 1912 hingga 1948, Sukan Olimpik menganugerahkan pingat kepada seniman dalam lima kategori, iaitu seni bina, kesusasteraan, muzik, lukisan dan arca.
Bagaimanapun, pertandingan ini dihentikan apabila International Olympic Committee (IOC) memutuskan bahawa para peserta dianggap sebagai ‘profesional’.
BACA: Ini Negara Yang Paling Banyak Kutip Pingat Emas Olimpik
BACA: Olimpik Paris 2024: 55 Kontinjen Malaysia Bakal Terima Telefon Pintar “Edisi Olimpik”
BACA: Olimpik Paris Buka Tirai, Kontinjen Negara Segak & Anggun Dengan Persalinan ‘The Malaya’
Sumber: CBC