Siakap Keli
tahniah shah firdaus
Kredit: Azizulhasni Awang via Facebook

Azizulhasni Awang Zahir Ucapan Tahniah Atas Perjuangan Cemerlang Shah Firdaus Di Olimpik Paris

Azizulhasni Awang Zahir Ucapan Tahniah Atas Perjuangan Cemerlang Shah Firdaus Di Olimpik Paris

Atlet berbasikal trek kebanggaan negara, Datuk Azizulhasni Awang, telah mengumumkan bahawa beliau akan bersara selepas berakhirnya Sukan Olimpik Paris 2024, yang melabuhkan tirainya semalam.

Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, beliau yang terkenal dengan gelaran “The Pocketman”, menyatakan keyakinannya bahawa legasi perjuangannya dalam sukan berbasikal trek akan diteruskan oleh rakan sepasukannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Mengimbas kembali perlumbaan akhir acara keirin, Datuk Azizulhasni Awang menyatakan bahawa Shah Firdaus sebenarnya berpeluang meraih pingat gangsa ketiga untuk Malaysia dalam acara keirin jika tidak berlaku kemalangan.

Insiden tersebut membuatkan beliau sedih kerana mengetahui potensi besar Shah Firdaus.

“Baton telah diserah, teruskan perjuangan, Shah Firdaus,” – Azizulhasni Awang

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Datuk Azizulhasni Awang menzahirkan ucapan tahniah atas perjuangan cemerlang Shah Firdaus di Olimpik Paris.

Menurut beliau, pencapaian untuk mara ke pusingan akhir (final) acara Keirin di Sukan Olimpik bukanlah sesuatu yang mudah, dan ini adalah satu kenyataan yang tidak dapat disangkal.

“Ketika Sukan Olimpik Tokyo sebelum ini, beliau (Shah Firdaus) terhenti di peringkat suku akhir.

“Penampilan Shah di Paris kali ini menunjukkan peningkatan yang amat membanggakan apabila berjaya melangkah ke peringkat akhir.

“Dalam baki 100 meter terakhir perlumbaan, Shah menunjukkan kelajuan yang mengagumkan dan seolah-olah hampir membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa.

“Namun, malang tidak berbau apabila berlaku pergeseran di selekoh terakhir yang menyebabkan beliau terjatuh,” ujar Datuk Azizulhasni Awang.

Bagaimanapun, beliau berkata, persembahan Shah Firdaus tetap wajar dibanggakan oleh semua pihak.

“Saya berharap Shah akan terus bekerja keras dan memperbaiki prestasinya dari masa ke masa untuk terus kekal cemerlang di peringkat antarabangsa.

“Yang paling penting kini adalah untuk menggunakan tempoh empat tahun akan datang dengan sebaik mungkin bagi mempersiapkan diri ke temasya Sukan Olimpik LA2028.

“Meskipun ia kedengaran terlalu awal, itulah realiti yang perlu dihadapi apabila bersaing di peringkat tertinggi ini,” tambah beliau.

Akhirnya, Datuk Azizulhasni Awang yakin bahawa Shah Firdaus akan menjadi lebih baik dan mampu mencapai kejayaan yang lebih gemilang di Sukan Olimpik LA2028 nanti.

BACA: Terkilan Gagal Bawa Pulang Pingat, Shah Firdaus Tidak Dapat Menahan Sebak

BACA: “Shah Firdaus Akan Teruskan Legasi Saya,” Azizulhasni Awang Umum Bersara

BACA: Jangan Serang Negara Lain – Adik Shah Firdaus

Sumber: Azizulhasni Awang via Facebook

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.