Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Disahkan Derita Lima Penyakit Kronik, Pemuda Akui Tetap Kuat Demi Ibu
Seorang pemuda dari Kok Lanas, Kota Bharu, berhadapan ujian yang berat selepas disahkan derita lima penyakit kronik.
Muhd Idzwan Syafiq Mohd Johari, 32, berkongsi bahawa kehidupannya berubah setelah didiagnosis dengan gout, masalah tulang belakang, darah beku dalam paru-paru, ligamen lutut terputus dan kegagalan buah pinggang tahap akhir.
Menurut Idzwan, dia mengalami serangan gout lima tahun lalu, tetapi kesakitan yang dialaminya bukan pada sendi.
Sebaliknya, kesakitan tersebut menyebabkan lapisan bawah kulitnya membengkak dan meninggalkan bekas lebam atau parut hitam.


Lebih dikenali sebagai Iwan, dia juga berdepan dengan masalah tulang belakang akibat tergelincir jatuh dari tangga, yang memaksanya menjalani pembedahan untuk memasang dua batang rod besi dan 16 skru.
“Sekarang pun ada dua skru yang longgar, saya tak boleh berjalan dan berkerusi roda. Saya perlu buat pembedahan tulang belakang kali ke-5 tapi tunda dahulu kerana bimbang risikonya tinggi.
“Saya juga ada darah beku dalam paru-paru disebabkan pernah kena jangkitan Covid-19 penghujung 2022 sehinggakan muntah darah. Batuk terlalu kuat dan saya perlu makan ubat cair darah.
“Rentetan daripada itu, Posterior Cruciate Ligament (PCL) saya terputus, tahan sakit kerana kaki kejang. Doktor suruh bius tapi saya tak nak. Jadi, saya terpaksa ambil keputusan patahkan kaki,” katanya.
Bagaimanapun, malangnya, penderitaan Iwan yang merupakan bekas penuntut dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Kota Bharu (PKB) tidak terhenti di situ.
Iwan turut memaklumkan bahawa dia telah didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang tahap akhir pada Oktober tahun lalu.
Jelas Iwan, pengambilan ubat tahan sakit yang tinggi kerana masalah tulang belakang dan bius dipercayai menyumbang kepada keadaan tersebut.

Ditanya tentang sumber kekuatan untuk kekal positif, Iwan berkata dia sangat bergantung pada sokongan ibunya, Che Piah Che Seman, 67.
“Semangat Umi yang membuatkan saya kuat, positif dan sentiasa senyum. Umi pernah kata walau macam mana pun orang luar hina saya, dia selalu mendoakan kesihatan serta takkan tinggalkan saya.
“Saya kena semangat sebab walaupun ujian datang berganti-ganti, masih ada bidadari syurga yang ALLAH SWT hadiahkan pada saya.
“Cuma saya tak tahu berapa lama dapat bertahan, mungkin satu atau dua tahun sebab doktor pesan bila-bila sahaja boleh berlaku sesuatu. Selagi hidup, saya cuba berbakti kepada keluarga dan kongsi semangat ini kepada orang ramai,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban Iwan, sumbangan boleh disalurkan ke nombor akaun 10302000137960 (RHB) atas nama Muhd Idzwan Syafiq Mohd Johari.
BACA: Kanak-Kanak Hilang Jumaat Lepas Ditemukan Selamat
BACA: Wanita Dakwa Anak Hidap ‘Vitiligo’ Selepas Ditampar Guru
BACA: Punca Kematian Bayi Di Taska Akibat Lemas – Polis
Sumber: Sinar Harian