Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

18 Terbunuh Dalam Serangan Udara Israel Ke Atas Sekolah Di Gaza

Athirah
Sekolah Al-Jawni di Gaza | Gambar: AFP

18 Terbunuh Dalam Serangan Udara Israel Ke Atas Sekolah Di Gaza

18 orang dilapor terkorban dalam serangan udara Tentera Israel ke atas sebuah sekolah di tengah Gaza.

Menurut laporan AFP yang memetik kenyataan Agensi Pertahanan Awam Gaza, Sekolah Al-Jawni di Nurseirat itu sudah beberapa kali menjadi sasaran serangan, termasuk kejadian pada Rabu.

Wakil Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal berkata mereka yang terkorban termasuk dua orang kakitangan Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

BACA: Ulang Tahun Ke-25, “Rindu Kami Kepada Arwah Nurin Tak Pernah Padam” – Bapa

Bagaimanapun, UNRWA dalam satu kenyataan memaklumkan bilangan kakitangannya yang terkorban dalam serangan itu adalah lebih tinggi, iaitu seramai enam orang.

Serangan udara Tentera Israel ke atas sekolah di Gaza sebabkan 18 terbunuh

Tambah UNRWA lagi, jumlah kematian yang dicatatkan itu adalah yang tertinggi melibatkan kakitangannya dalam satu insiden.

“Sekolah ini diserang lima kali sejak perang bermula. Ia adalah rumah kepada kira-kira 12,000 orang yang kehilangan tempat tinggal, terutamanya wanita dan kanak-kanak.

BACA: Rangka Manusia Termasuk Tengkorak Ditemui Dalam Loji Kumbahan

“Tiada siapa pun yang selamat di Gaza,” tulis UNRWA dalam hantaran di paltform X.

Insiden itu turut mendapat perhatian Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang turut menyebut jumlah kematian kakitangan UNRWA adalah enam orang.

“Apa yang sedang berlaku di Gaza ketika ini tidak boleh diterima. Pelanggaran dramatik terhadap undang-undang kemanusian antarabangsa ini perlu dihentikan segera,” katanya.

Sekurang-kurangnya 18 orang turut cedera

Sementara itu, Agensi Pertahanan Awam Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 18 orang, termasuk kanak-kanak dan wanita turut cedera dalam serangan tersebut.

Bagaimanapun, AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas angka-angka yang dinyatakan.

Terdahulu, Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan kedudukan pusat arahan dan kawalan Hamas yang beroperasi di Al-Jawni.

Namun, Israel tidak berkongsi lanjut hasil daripada operasi tersebut serta identiti individu yang disasarkan.

BACA: Ini 5 Laman Web Paling Kerap Rakyat Malaysia Layari Sepanjang Ogos

Sumber: AFP