Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Menyamar Kakitangan MetMalaysia, Buat Permohonan Palsu
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerima aduan terdapat aktiviti penyamaran sebagai kakitangan jabatan berkenaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Penyamaran tersebut melibatkan permohonan perkhidmatan dan bekalan yang tidak wujud.
Unit Komunikasi Korporat (UKK) jabatan tersebut memaklumkan terdapat penggunaan kepala surat jabatan yang direka pada dokumen palsu tersebut.
“Kegiatan licik ini dikesan apabila semakan yang dilakukan menerusi ePerolehan mendapati permohonan tidak wujud di dalam sistem. Permohonan yang dilakukan juga menggunakan dokumen palsu yang menggunakan kepala surat jabatan yang direka,” katanya.
UKK MetMalaysia menegaskan pihaknya tidak membenarkan proses serahan dokumen secara manual.
“Jabatan Meteorologi Malaysia memandang serius terhadap perkara yang berlaku kerana telah mencemarkan imej jabatan dalam melaksanakan tadbir urus yang baik, telus, saksama dan berintegriti.
“Ingin ditegaskan bahawa semua urusan perolehan jabatan ini adalah menggunakan sistem ePerolehan secara atas talian sepenuhnya di mana serahan dokumen secara manual adalah tidak dibenarkan,” tambahnya.
MetMalaysia turut menasihati semua pihak yang menerima tempahan secara manual menggunakan nama jabatan ini untuk menghubungi Unit Perolehan bagi mengelakkan sebarang kerugian.
Terdahulu, MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara. Amaran tersebut berkuat kuasa pada 13 hingga 18 September.
Dalam pada itu, hujan berterusan juga dijangka melibatkan negeri-negeri di bahagian utara iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang bermula 15 hingga 18 September ini.
“Sementara itu, di negeri-negeri lain, cuaca ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi berlaku sepanjang minggu ini.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya lagi.