Pizza Wagyu Jofliam 99 Terbaik Dunia
Pempengaruh media sosial dan pembuat pizza, Jofliam, dinobatkan sebagai pembuat pizza nombor 99 terbaik dunia dalam pertandingan The Best Pizza In The World 2024 di Milan, Itali.
Kemenangan ini diraih melalui kepakaran Jofliam memperkenalkan menu istimewa Pizza Wagyu, yang membawa namanya sebaris dengan chef pizza terkemuka dari seluruh dunia.
Anugerah berprestij ini turut dikongsikan di laman Instagram rasmi @top100pizza, memaparkan pencapaian Jofliam atau nama sebenarnya Jofli Abu Bakar sebagai wakil Malaysia dalam arena pizza antarabangsa.
https://www.instagram.com/p/DAjSSE3omeM/?hl=en&img_index=9
Kemenangan ini pastinya membanggakan seluruh rakyat Malaysia, kerana nama anak tempatan berjaya diiktiraf di pentas global.
Menerusi Instagram Story, Jofliam menzahirkan rasa syukur dengan kejayaan yang dikecapi dan menyifatkan ia bukan sesuatu yang mudah.
“Dari berpuluh ribu, di senaraikan dalam 200 terbaik (pizza), akhirnya ke 100 terbaik,” tulisnya.
Dalam pertandingan ini, gelaran pembuat pizza terbaik dunia bagi tahun 2024 dimenangi oleh chef Franco Pepe dari Itali.
Tempat kedua dimenangi oleh pasangan chef Sepanyol, Jorge Sastre dan Rafa Panatieri, manakala Simone Padoan dari Itali menduduki tempat ketiga.
BACA: Budi Seorang Abang, Gigih Naik Motor Hantar Adik Dari Melaka Ke UUM
Sebelum ini, Jofliam sempat berkongsi hasratnya untuk membawa nama Malaysia dalam pertandingan pizza antarabangsa ini.
“Satu penghormatan besar untuk mewakili Malaysia di pentas global ini dan membawa nama negara kita ke dalam dunia pizza.
“Pizza bukan sahaja menyatukan orang ramai, tetapi ia juga menyebarkan kegembiraan ke seluruh dunia.
“Saya tidak sabar-sabar menantikan Milan untuk pengiktirafan berprestij ini. Sebagai rakyat Malaysia, kita sentiasa didorong oleh semangat “Malaysia Boleh!” kongsinya.
Moga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia, terutama dalam industri makanan dan minuman.
BACA: Operasi Pencarian Sabari Di Sungai Padang Terap Diteruskan
BACA: FIFA Sahkan Mats Deijl Tak Lepasi Syarat Untuk Sertai Harimau Malaya – FAM
Sumber: Instagram Jofliam, Instagram Top100pizza