“Ini Kali Ketiga Saya Rasa Kami Dianiaya” – Ten Hag
Ketua jurulatih Manchester United, Erik ten Hag menyifatkan kekalahan 2-1 pasukannya ke atas West Ham United semalam adalah satu ‘penipuan’.
Dalam sidang media selepas perlawanan, jurulatih kelahiran Belanda itu berkata, anak-anak buahnya mendominasi sebahagian besar perlawanan dengan penguasaan bola sebanyak 57 peratus dan 18 percubaaan tepat ke arah gawang tuan rumah namun nasib tidak menyebelahi.
“Bola sepak, tidak semestinya pasukan terbaik menang.
“Hari ini sangat jelas, kami jauh lebih baik daripada lawan cuma kami dibayangi dua perkara iaitu tidak dapat menjaringkan gol dan keputusan yang buruk oleh pengadil,” katanya.
Tambahan lagi, penalti yang diberikan pada lewat permainan dianggap tidak adil berikutan bola sebelum itu terkena tangan salah seorang pemain West Ham.
Bagaimanapun, pengadil memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah selepas Matthijs de Ligt melakukan kekasaran terhadap Danny Ings dalam kotak penalti.
‘Kita sentiasa bersama dan teruskan berjuang’
Dalam pada itu, Ten Hag memuji persembahan yang dipamerkan oleh pasukannya dan akan terus berusaha walaupun berdepan dengan cabaran baharu.
“Saya berasa amat kasihan dengan pemain saya. Mereka bermain dengan begitu baik, berjuang bersama-sama, sangat bersemangat tetapi gagal membawa pulang tiga mata adalah sangat mengecewakan.
“Sekarang kami perlu menunjukkan gaya permainan yang lebih baik, Jika begitu banyak yang menentang kami, kami perlu kekal bersama, terus berjuang dan kekalkan semangat.
“Apabila memenangi perlawanan, ia adalah satu motivasi dan menjadi pembakar untuk memberi keyakinan kepada pasukan dan kepercayaan yang kuat.
“Jadi, kami boleh melangkah ke hadapan dan sekarang kami perlu menangani kekecewaan ini. Kami akan melakukannya.
“Kami kuat, kakitangan kuat, kami akan terus berjuang untuk Manchester United dan kami akan terus berjuang lagi pada hari Rabu (EFL Cup),” ujarnya.
Untuk makluman, ini merupakan kekalahan liga keempat daripada sembilan perlawanan Manchester United. The Red Devils kini berada di kedudukan ke-14 dengan mengumpul 11 mata sahaja.
Sumber: Premier League