10 Negeri Diramal Hujan Hingga Tengah Malam Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kebanyakan negeri hingga jam 12 tengah malam ini.
Dalam kenyataan tersebut, negeri yang terlibat adalah Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
Menurut METMalaysia, hanya keseluruhan kawasan di negeri Melaka yang dijangka mengalami cuaca buruk.
“Di Kedah, daerah yang terlibat adalah Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling dan Kulim. Manakala di Perak melibatkan kawasan Hulu Perak dan Muallim.
“Di Kelantan, hanya daerah Jeli yang diramal hujan sementara Raub, Bentong, Temerloh dan Rompin di Pahang.
“Dua daerah di Selangor iaitu Hulu Selangor dan Gombak turut dijangka hujan termasuk beberapa daerah Negeri Sembilan seperti Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin.
“Selain itu, di Johor daerah yang diramal dibadai cuaca buruk itu adalah Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Mersing.
“Beralih ke Sarawak, hanya kawasan Serian, Kapit (Belaga) dan Miri (Telang Usan) diramal hujan.
“Manakala di Sabah pula melibatkan Pedalaman (Beaufort dan Keningau) dan Pantai Barat (Papar),” maklum METMalaysia dalam kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia