FAM Umum Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Harimau Malaya
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini telah mengumumkan pelantikan Dr. Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Harimau Malaya.
“Dr. Craig merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Performance Intelligence Agency selama 15 tahun sejak dari 2009 hingga kini yang mana beliau turut pernah menjadi Ketua Sains Sukan di Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) selama empat tahun dari 2014 hingga 2018.
“Selain itu, Dr. Craig turut merupakan Pensyarah Kanan Senaman dan Sains Sukan di Australian Catholic University (ACU) sejak 2013 hingga kini yang mana beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan dan Senaman dari University of Sydney dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dari Deakin University.
“Beliau juga merupakan Penasihat di Elite Performance Partners sejak dari 2021 hingga kini,” kongsi FAM dalam satu kenyataan.
Menurut FAM, dengan pengalaman dan kepakaran Dr. Craig dalam bidang prestasi manusia, beliau bakal bertanggungjawab dalam mengetuai hal-hal berkaitan prestasi tinggi; kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan; pemakanan dan psikologi sukan serta pembangunan kakitangan.
“Sebagai salah seorang saintis sukan terkemuka Australia, pendekatan Dr. Craig yang inovatif dan holistik terhadap pengurusan pemain telah membolehkan pasukan berprestasi tinggi memaksimumkan prestasi dan menurunkan kadar kecederaan dalam atlet profesional mereka.
“Dr. Craig bekerja dengan Sydney FC apabila mereka memenangi kejuaraan Liga-A, dengan Western Sydney Wanderers apabila mereka menjadi pasukan Australia pertama memenangi Liga Juara-Juara Asia pada 2014, dengan pasukan NSW untuk menamatkan kemarau kejuaraan pada siri State of Origin pada 2014 dan 2018, serta dengan Socceroos apabila mereka muncul juara Piala Asia pada 2015.
“Selain itu, Dr. Craig turut menyelia program prestasi tinggi pasukan kebangsaan Iran apabila mereka mara ke separuh akhir Piala Asia 2019,” jelas FAM.
BACA: FAM Umum Nama Dua Teraju Utama Struktur Organisasi Baharu Harimau Malaya
Di FAM nanti, Dr. Craig telah menetapkan visi untuk mewujudkan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia dalam sains sukan dan perubatan sukan.
Tujuan utama beliau adalah untuk memastikan pasukan senior, junior dan wanita kebangsaan dapat mencapai kejayaan berterusan, sambil memupuk budaya prestasi tinggi di semua peringkat bola sepak di Malaysia.
Untuk misi beliau, Dr. Craig berhasrat mengintegrasikan amalan sains sukan dan perubatan termaju di semua pasukan kebangsaan serta liga bola sepak Malaysia.
Ini termasuk meningkatkan prestasi pemain, pemulihan dan daya tahan melalui protokol piawai, program pendidikan dan teknologi termaju.
“Dengan semua perancangan ini diharap ianya mampu untuk menyediakan pasukan kebangsaan kita dengan tahap kesediaan fizikal dan taktikal yang terbaik, selain aspek berkaitan prestasi tinggi menjadi keutamaan dalam bola sepak Malaysia,” tambah FAM.
BACA: FAM Umum CEO Harimau Malaya
Untuk info, Dr. Craig akan memulakan tugasannya secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Januari 2025.
Terdahulu, FAM telah mengumumkan pelantikan Peter Cklamovski, juga dari Australia, sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan, sementara Nafuzi Zain dilantik sebagai Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan pada 16 Disember 2024.
Pada 31 Disember 2024 pula, FAM turut mengumumkan Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan.
BACA: FAM Perlu Sediakan Pelan Perancangan, KPI Harimau Malaya – PM Anwar
Sumber: FAM