Siakap Keli
CEO Harimau Malaya
Gambar: FAM

FAM Umum CEO Harimau Malaya

FAM Umum CEO Harimau Malaya 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan Robert Douglas Friend atau Rob Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan.

Ini sekali gus menjadikan beliau sebagai peneraju utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.

“Sebagai rekod, Rob Friend merupakan seorang bekas pemain yang beraksi di posisi penyerang dengan antara kelab yang pernah diwakilinya ialah kelab Norway, Moss FC dan Molde FK; kelab Jerman, Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, Eintracht Frankfurt dan 1860 Munich serta kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy pada 2014.

“Dalam pasukan kebangsaan Kanada pula, beliau telah melakukan sebanyak 32 penampilan antarabangsa bermula dari 2003 ketika berusia 22 tahun sehingga 2011 ketika beliau berusia 30 tahun,” tulis kenyataan FAM.

BACA: FAM Umum Nama Dua Teraju Utama Struktur Organisasi Baharu Harimau Malaya

Berasal dari Rosetown, Saskatchewan, Canada, Rob Friend yang bakal berusia 44 tahun pada 23 Januari depan juga mempunyai latar belakang yang cukup kukuh dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas bersara sebagai pemain pada Disember 2014.

“Rob Friend bermula sebagai rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group, sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah dari 2014 sehingga kini.

“Kemudian dari 2017 hingga 2021, beliau menjadi pengasas Toca Football Canada, teknologi latihan khusus bola sepak dan keluar dengan penuh berjaya apabila peningkatan modal syarikat berkenaan mencecah AS$150 juta.

“Bermula 2019 hingga sekarang, Rob Friend merupakan rakan kongsi pengurusan di SixFive Sports Fund, badan pelaburan dalam bola sepak profesional dan infrastruktur melalui pemilikan kelab, stadium dan pembangunan kemudahan latihan.

“Antara penglibatan terbesar beliau ialah menjadi salah seorang pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada, Canadian Premier League (CPL) dan berjaya meningkatkan nilai liga tersebut dari AS$0 sehingga AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.

“Rob Friend juga pernah menerajui kepimpinan tertinggi pengurusan dan pentadbiran dua kelab yang beraksi di CPL iaitu sebagai CEO dan pengasas bersama Pacific FC dari 2019 hingga 2022 serta sebagai Presiden dan pengasas bersama Vancouver FC dari 2022 hingga kini,” tambah FAM.

BACA: KAFA Ahli Gabungan Kedua FAM Digantung Bulan Ini

Bukan itu sahaja, Rob Friend turut terlibat dalam menerajui penubuhan dan pembangunan strategik kelab.

Ini termasuklah pembangunan stadium dan pusat latihan, menyelia semua aspek operasi kelab, termasuk pembelian pemain, pelantikan kakitangan kejurulatihan, rundingan penajaan serta pengurusan kewangan yang membawa kepada peningkatan ketara terhadap nilai kelab terbabit.

“Pelbagai pengalaman yang dimiliki beliau ketika sebagai pemain serta dalam bidang pengurusan dan pentadbiran diharap mampu memberikan satu suntikan baharu dalam menguruskan perancangan dan program membabitkan pasukan kebangsaan terutama skuad senior dan B-23 kebangsaan pada tempoh permulaan ini.

“Rob Friend juga akan memastikan struktur organisasi baharu ini akan dilengkapi dengan tenaga-tenaga kerja yang berkualiti dan berpengalaman dalam pelbagai aspek yang diperlukan demi menyediakan satu pasukan kebangsaan yang mantap,” jelas FAM lagi.

Difahamkan, Rob Friend akan memulakan tugasannya secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Januari 2025.

Untuk info, pelantikan Rob Friend sebagai CEO ini merupakan sebahagian daripada langkah besar yang dimulakan oleh FAM dalam memperkukuhkan skuad kebangsaan.

Pada 16 Disember 2024, FAM juga telah mengumumkan pelantikan Peter Cklamovski dari Australia sebagai ketua jurulatih kebangsaan.

Manakala, Nafuzi Zain dilantik sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

BACA: FAM Pandang Serius Insiden Pergaduhan Arif Aiman, Tommy Mawat

Sumber: FAM

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.